KUALA LUMPUR, 6 Apr 21 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan penerbangan ihsan membawa seorang bayi lelaki yang mengalami penyakit sawan (epilepsy) dari Bintulu, Sarawak ke Pangkalan Udara Subang untuk menjalani rawatan segera di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur hari ini.
Bayi lelaki tersebut, adik Arthur Lee Chang Hao berusia empat bulan mengalami masalah ‘Epilapsy with underlying focal cortial dysplasia’ iaitu penyakit sawan yang teruk sebelum ini menerima rawatan di Hospital Bintulu, Sarawak dan perlu dibawa segera kerana memerlukan kemudahan rawatan yang lengkap yang ada di wad kanak-kanak Hospital Tunku Azizah.
Penerbangan ihsan ini menggunakan pesawat angkut A400M dari No. 22 Skuadron, Pangkalan Udara Subang. Pesawat telah diterbangkan oleh Mejar Khairul Ikhmal bin Ishak TUDM dan dibantu oleh pembantu juruterbang, Kapten Muhd Izwan bin Noor Azman TUDM bersama dua (2) orang ‘Loadmaster’, FSjn Norfadley bin Saad serta Sjn U Mohd Hashimi bin Md Hassim.
Turut mengiringi bayi berkenaan adalah ibu bayi berkenaan berserta seorang pegawai perubatan, Dr. Sakthyesvary Sekaran dan seorang jururawat. Pesawat selamat mendarat di Pangkalan Udara Subang pada jam 11.33 malam dan pesakit terus dibawa ke hospital oleh pasukan perubatan untuk rawatan selanjutnya.
Penerbangan ihsan ini dilaksanakan oleh TUDM bagi membolehkan pesakit mendapatkan rawatan segera tertakluk kepada kriteria-kriteria tertentu terutama nasihat daripada pegawai perubatan. Ini memperlihatkan keprihatinan dan komitmen TUDM dalam melunaskan tanggungjawab sosial serta sentiasa siap siaga untuk mengoperasikan aset-asetnya pada masa yang diperlukan.
Seluruh warga TUDM mendoakan supaya bayi berkenaan dapat menerima rawatan dengan segera serta diberikan kesembuhan.