PEMAKAIAN PANGKAT TAULIAH KEHORMAT JAWATANKUASA PENDUKUNG ANGKATAN SUKARELA PERSEKUTUAN

1 2 3
4 5 6

 

KUALA LUMPUR, 6 April 2021 – Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Encik Ahmad Nadzri bin Mohd Hassan telah dilantik sebagai Kolonel (Kehormat) dalam Pasukan Simpanan Sukarela TUDM (PSSTUDM) selaku Ahli Jawatankuasa Pendukung PSSTUDM, Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) berkuatkuasa 21 Januari 2021.

Pelantikan tauliah kehormat ini adalah mengikut Seksyen 198 (5) Akta Angkatan Tentera 1972 dan telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Sebagai Ahli Jawatankuasa Pendukung berkenaan, beliau bertanggungjawab untuk membantu dalam segala program pembangunan PSSTUDM dan Angkatan Sukarela Persekutuan KEMENTAH.

Pemakaian pangkat tauliah kehormat ke atas beliau telah disempurnakan oleh Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob bersama Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM bertempat di Wisma Perwira ATM dan disaksikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato' Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz; para pegawai Kanan TUDM, ATM dan Kementerian Pertahanan.

Pada hari bersejarah ini juga turut menyaksikan Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama (Dr.) Haji Sulaiman bin Md Ali dianugerahkan pemakaian pangkat tauliah kehormat Brigedier (Kehormat) dalam Rejimen Askar Wataniah selaku Penaung JAKPAW Negeri Melaka dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pertahanan, Puan Mastura binti Ahmad Mustafa sebagai Kolonel (Kehormat) Rejimen Askar Wataniah selaku Ahli JAKPAW Kementerian Pertahanan.

Sementara itu, anugerah pemakaian pangkat pegawai tauliah kehormat PSSTLDM melibatkan Menteri Besar Kedah, YAB Tuan Haji Muhammad Sanusi Md Nor dengan pemakaian pangkat Laksamana Pertama (Kehormat) TLDM selaku Jawatankuasa Penaung Angkatan Sukarela (JAKPAS) Negeri Kedah serta Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz dilantik sebagai Kepten (Kehormat) PSSTLDM selaku Jawatankuasa Pendukung PSSTLDM Zon Barat.
TUDM mengucapkan sekalung tahniah di atas pemakaian pangkat tauliah kehormat kepada semua penerima dan ianya menjadi pemangkin bagi memperkasakan Jawatankuasa Pendukung Angkatan Sukarela Persekutuan secara keseluruhannya.