PESAWAT TUDM CN235 TERBANGKAN 274 VIALS VAKSIN UNTUK ANGGOTA ATM 1 DIVISYEN

1 2 4
3 5

 

Pesawat CN235 dari No. 1 Skn, PU Kuching telah berjaya melaksanakan penghantaran 274 vials vaksin jenis Comirnaty Pfizer BioNtech yang dikoordinasi oleh Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) bagi suntikan vaksin tersebut kepada anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang bertugas di Sibu, Bintulu dan Miri pada pagi tadi. Sebelum ini, No. 1 Skn telah melaksanakan penghantaran sebanyak 171 vials vaksin pada 12 Mac yang lalu bagi keperluan suntikan vaksin 1 Divisyen.

Proses memuatnaik yang menggunakan 'vaccine carrier box' ke dalam pesawat telah bermula seawal jam 8.30 pagi oleh anak kapal pesawat CN235 dengan dibantu oleh tim perubatan tentera diketuai oleh Kapt Amirah Khan. Pesawat telah terbang pada jam 9.10 pagi dengan penghantaran pertama ke Sibu dan seterusnya ke Bintulu serta Miri. Proses penghantaran mengambil masa hampir 8 jam yang mana kesemua anak kapal selamat tiba semula di PU Kuching pada jam 5 petang.

Penerbangan ini telah dikendalikan dengan jayanya oleh Mej Noorihtifazuddin bin Sabaludin TUDM, Mej Emy Hazrie bin Norazmy TUDM serta Kapt Mohamad Hafizan bin Mos TUDM selaku juruterbang dan dibantu oleh Kapt Muhammad Fikri Hanif bin Mohamad Hanafi TUDM dan Kapt Amirul Afiq bin Roslan TUDM selaku pembantu juruterbang. Anak kapal lain yang turut terlibat adalah Kuartermaster Udara (AQM) iaitu FSjn Mohd Izwan bin Jalaluddin serta Sjn U Ahsannunas bin Mohd Toib bersama seorang pramugari udara iaitu Sjn U (W) Aimy Amira binti Ahmad.

TUDM terus komited melaksanakan penugasan penghantaran vaksin sekiranya diperlukan bagi memastikan Program Imunisasi COVID-19 Peringkat ATM dapat dilaksanakan dengan segera mengikut masa yang ditetapkan. Usaha ini bagi melestarikan kesejahteraan rakyat khususnya pada masa ini difokuskan kepada kumpulan barisan hadapan (frontliners).

Lindung Diri, Lindung Semua.