![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
KUALA LUMPUR, 7 Jun 2025 – Pemangku Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Sri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM telah hadir menunaikan Solat Sunat Aidiladha serta Program Ibadah Korban/Akikah Peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tahun 2025M/1446H bertempat di Masjid Khalid bin Al-Walid, KEMENTAH (MKWK).
Solat Sunat Aidiladha telah diimamkan oleh Imam Besar MKWK, Lt Kol Haji Mohd Nizam bin Dato’ Haji Termizi Al-Hafiz dan diikuti dengan bacaan khutbah bertajuk “Ibrah Ovis Areis” yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera, Mej Jen Dato’ Haji Mohd Rashidi bin Bujai.
Menurut khutbah tersebut:
“Seorang pengkaji Ethologist bernama Dr. R. Kilgour menyifatkan ‘Ovis Areis’ adalah sejenis haiwan yang sangat berhati-hati, mempunyai deria penglihatan yang luas, hidup dalam berkumpulan secara santai, suka mengunyah dalam masa yang lama dan tidak memangsa. Ia berbulu, berasal dari habitat padang pasir dan kurang memerlukan air. Lemah dari segi pertahanan diri kecuali berlari, namun sifatnya jinak, mesra, dan suka mengikut antara satu sama lain. Kajian juga menunjukkan ia memiliki ikatan perhubungan yang sangat intim antara ibu dan anak. Haiwan inilah yang menjadi ganti kepada Nabi Ismail AS ketika perintah sembelihan diturunkan oleh Allah SWT. Ya, itulah biri-biri atau nama saintifiknya ‘Ovis Areis’".
“Dikatakan bahawa biri-biri hidup dalam kumpulan, saling mengikut, tunduk dan patuh. Sifat ini sangat serasi dengan kisah tiga insan mulia – Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS, dan haiwan sembelihan itu sendiri – yang tunduk patuh kepada perintah Allah. Maka, ibrahnya adalah bahawa manusia perlu meneladani sifat ‘Ovis Areis’ ini, hidup dalam masyarakat dengan damai, tidak mencipta onar, serta menjaga ketenteraman dan keharmonian bersama".
Seusai khutbah, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy bin Ithnain mewakili Panglima Angkatan Tentera telah menyempurnakan perasmian Program Ibadah Korban/Akikah dengan penyerahan simbolik pisau sembelihan kepada Brigedier Jeneral Haji Mohd Hamzah bin Adam, Timbalan Pengerusi MKWK selaku Ketua Penyembelihan.
Turut memeriahkan program ialah kehadiran wakil NGO MyFundAction yang diketuai oleh Dr. Hj. Mohd Hizul Azri bin Haji Md Noor, pengasas dan penasihat utama badan bukan kerajaan tersebut. Komitmen tinggi MyFundAction dalam aspek kebajikan dan kemanusiaan jelas terserlah dengan sumbangan 150 kotak rezeki kepada warga ATM dan ahli kariah MKWK.
Dengan semangat gotong-royong, proses penyembelihan 30 ekor lembu dan 10 ekor kambing dijalankan dengan lancar di perkarangan masjid, turut dibantu oleh 30 orang sukarelawan dari MyFundAction. Kesemua daging korban dan akikah kemudiannya diagihkan kepada para peserta, warga ATM, dan ahli kariah masjid yang hadir.
Antara matlamat utama penganjuran program ini di MKWK adalah untuk menyemarakkan semangat dan penghayatan makna sebenar pengorbanan dalam syiar Islam. Nilai serta tahap pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim Khalilullah AS dan puteranya, Nabi Ismail Zabihullah AS menjadi pedoman utama kepada seluruh warga ATM yang beragama Islam. Di samping itu, program ini juga bertujuan menzahirkan rasa syukur terhadap segala nikmat dan pemberian yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-NYA.