![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
SUBANG, 10 Jun 2025 – Pemangku Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Sri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM, telah berbesar hati menghadiri Majlis Penyerahan Sijil Non-Destructive Testing (NDT) Responsible Level 3 yang disampaikan oleh wakil TESTIA Airbus kepada Mej Ir Ts Dr Arvinthan Venugopal TUDM. Majlis penuh berprestij itu telah berlangsung di Pusat Perkhidmatan Kejuruteraan Aerospace (PUSPEKA), Pangkalan Udara Subang.
Mej Ir Ts Dr Arvinthan TUDM mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi satu-satunya pegawai dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berjaya memperoleh kelayakan NDT Responsible Level 3. Lebih membanggakan, beliau kini tersenarai dalam kumpulan elit seramai lima individu sahaja di Malaysia yang memiliki pelesenan NDT Level 3 dalam bidang penerbangan merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan negara.
Kejayaan ini menjadi satu mercu tanda baharu dalam usaha TUDM memperkukuh keupayaan teknikal dan kejuruteraan, khususnya dalam aspek keselamatan dan penyelenggaraan pesawat udara. Ia turut mencerminkan iltizam berterusan TUDM dalam melahirkan kepakaran tempatan yang setaraf dengan piawaian antarabangsa.
Dalam ucapan, Pemangku Panglima Tentera Udara merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak TESTIA Airbus atas kerjasama strategik mereka dalam membangunkan keupayaan teknikal TUDM melalui latihan dan pentauliahan bertaraf global. Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Mej Ir Ts Dr Arvinthan atas pencapaian cemerlang ini.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa anak watan kita mampu mencapai tahap profesionalisme tertinggi dalam bidang teknikal kritikal seperti NDT. Ia bukan sahaja mengangkat nama TUDM, malah menjadi simbol kebanggaan kepada seluruh warga ATM. Ini wajar dijadikan inspirasi kepada jurutera muda dalam TUDM untuk terus melakar kejayaan di peringkat antarabangsa,” ujar beliau.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran pegawai-pegawai kanan TUDM serta wakil-wakil dari TESTIA Airbus, sekali gus mencerminkan hubungan erat dan sinergi strategik antara TUDM dan pihak industri dalam memperkasa keupayaan kejuruteraan negara.