SUBANG, 1 Oktober 2021 - Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato’ Hj Yazid bin Hj Arshad TUDM telah menyempurnakan Majlis Sambutan Kepulangan Kumpulan Pertama MALBATT 850-8 bertempat di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang. Pesawat Malaysia Airlines yang membawa kumpulan pertama ini telah berlepas dari Beirut, Lubnan pada jam 7.44 pagi dan selamat tiba di Malaysia pada jam 6.08 petang.
Turut hadir dalam majlis menyambut ketibaan ini adalah Komander Pangkalan Udara Subang, Brig Jen Omar bin Hj Dawami TUDM yang mewakili Panglima Tentera Udara, Pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Pegawai-pegawai Kanan ATM.
Panglima Angkatan Bersama yang mewakili Panglima Angkatan Tentera menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada seluruh anggota MALBATT 850-8 kerana telah berjaya melaksanakan tugas di Lubnan dalam tempoh jangkamasa 12 bulan yang bermula pada 1 Oktober 2020 lalu dengan efektif, efisien dan selamat serta menunjukkan kerjasama teguh di antara pasukan pemerhati kontinjen dari negara-negara lain termasuk Angkatan Tentera Lubnan dan juga rakyat setempat. Jasa dan pengorbanan para perwira MALBATT 850-8 akan sentiasa dikenang dan tercatat dalam lipatan sejarah di atas sumbangan bakti mereka kepada negara.
Kumpulan Pertama MALBATT 850-8 yang terdiri daripada 206 pegawai dan anggota ini telah diketuai oleh Mej Salion Bin Mamat. Kesemua pegawai dan anggota tersebut telah menjalani pemeriksaan kesihatan sebaik sahaja tiba di tanah air. Seterusnya, kumpulan ini akan ditempatkan di MALBATT Village Port Dickson bagi menjalani kuarantin wajib.