KUALA LUMPUR, 1 Okt 21 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Udara Republik Singapura (TURS) atau Republic of Singapore Air Force (RSAF) telah melaksanakan latihan ketenteraan dua hala iaitu Eksesais Mencari dan Menyelamat (SAREX) MALSING 2021, selama (3) tiga hari bermula 29 Sep hingga 1 Okt 21. SAREX MALSING adalah merupakan aktiviti latihan kedua-dua negara yang dilaksanakan secara penggiliran dan RSAF sebagai tuan rumah.
Eksesais yang dijalankan secara “virtual table top” eksesais dan “field training” eksesais tanpa bersemuka di antara TUDM dan RSAF. Eksesais ini dilaksanakan bagi mengukuh persefahaman dan kebolehoperasian (interoperability) disamping meningkatkan keupayaan bersama serta tahap kesiagaan operasi yang melibatkan misi mencari dan menyelamat (SAR). Peserta eksesais turut menyalurkan maklumat berkenaan “Search and Rescue” (SAR) melalui persidangan video.
Pembukaan eksesais secara rasminya berlangsung pada 30 Sep 21 yang telah disempurnakan secara bersama oleh Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM mewakili Panglima Tentera Udara dan Panglima Tentera Udara RSAF, Mejar Jeneral Kelvin Khong Boon Leong secara persidangan video. Turut serta ialah Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Hj Mohammad Salleh bin Hj Othman TUDM dan AKS Operasi dan Strategi, Mejar Jeneral Dato’ Zulkifli bin Hamid TUDM dari TUDM berserta Head Air Operations, Brigedier Jeneral Lim Kok Hong dan Chief of Staff, Brigedier Jeneral Lau Boon Ping dari RSAF.
Buat pertama kali, latihan ini dilaksanakan secara persidangan video berikutan situasi dunia yang masih berdepan pandemik Covid-19. Namun, eksesais pada kali ini dilaksanakan dengan jayanya dan telah membuat persetujuan bersama dari kedua angkatan udara. Latihan yang menampilkan “Field Training Exercise” (FTX) yang berkonsepkan “meet-in-the-air” iaitu pesawat SAR akan beroperasi dari negara masing-masing dan akan berada di lokasi penugasan secara bersama melibatkan pesawat EC 725 AP TUDM dan Super Puma RSAF serta tim SAR dari kedua-dua buah negara. Ianya merupakan alternatif yang dipersetujui bersama di dalam meneruskan eksesais pada tahun ini.
Kejayaan SAREX MALSING 2021 berjaya membuktikan tahap profesionalisma di antara kedua-dua angkatan udara di samping berkongsi idea, kepakaran serta kerjasama hubungan bilateral yang sedia terjalin di antara Malaysia dan Singapura.