KUALA LUMPUR, 26 Jan 22 – Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah hadir ke Program Pentarama Zikir & Fikir ATM Tahun 2022 yang diadakan di Auditorium Wisma Pertahanan, hari ini.
Program anjuran bersama Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dengan Bank Islam Malaysia Berhad ini merupakan inisiatif berbentuk pengajaran dan dakwah untuk dihayati berlanjutan dari peristiwa besar yang melanda negara bermula dengan pandemik Covid-19 hinggalah musibah banjir baru-baru ini telah memberi pengajaran bermakna yang disampaikan melalui persembahan pentas dan hiburan kontemporari.
Sementara itu, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain yang mewakili Panglima Angkatan Tentera turut menyempurnakan pelancaran Laman Web KAGAT yang berperanan sebagai medium dakwah ke arah pendidikan kerohanian secara siber melalui penyediaan info-info grafik, audio video mimbar siber, penyediaan bahan-bahan terbitan KAGAT serta pautan media sosial serta modul sistem KAGAT.
Program ini diteruskan lagi dengan penyampaian hadiah cabutan Bank Islam Malaysia Berhad sempena Hari ATM ke-88 dan sempena Kempen Pahlawan Bank Islam 2021. Bagi cabutan bertuah sempena Kempen Pahlawan Bank Islam 2021, memenangi Hadiah Utama sebuah kereta Proton X50 dan Hadiah Pertama 5 buah kereta Perodua Myvi. Pegawai dan anggota TUDM iaitu Kapt Mizah binti Mohd Nor TUDM dari Pangkalan Udara Subang dan LU I Vinoth Nair a/l Gobi dari Pangkalan Udara Gong Kedak antara lima penerima yang bertuah memenangi kereta Perodua Myvi.Tahniah diucapkan kepada pemenang.
Program ini turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany; Ketua Staf Markas ATM, Lt Jen Datuk Mohd Zakaria bin Hj Yadi; pegawai-pegawai kanan perkhidmatan serta anggota ATM.