AMANAT TAHUN BAHARU 2022 OLEH PANGLIMA ANGKATAN TENTERA

1 2 3
4 5 6

 

KUALA LUMPUR, 24 Jan 22 – Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Sri Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah menghadiri dan turut sama mendengar Amanat Tahun Baharu 2022 yang diadakan di Auditorium Kementerian Pertahanan, hari ini.

Amanat Tahun Baharu 2022 yang disampaikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM ini merupakan rumusan bagi tahun 2021 dan diikuti dengan keutamaan bagi tahun 2022 dengan harapan beliau, agar apa yang disampaikan dapat menjadi pembakar semangat serta panduan untuk semua pegawai dan anggota ATM terus komited dalam menjadikan organisasi yang dicintai, kekal teguh melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Dalam ucapan beliau, Panglima Angkatan Tentera optimis bahawa kedatangan tahun 2022 ini akan menjadi tahun pemulihan dalam memastikan tradisi dan legasi terdahulu dapat diteruskan setelah tergendala akibat ketidaktentuan yang dibawa oleh pandemik COVID-19.

7 8 9

 

Menjadi keutamaan pertama bagi tahun 2022 ini adalah untuk meneruskan 4 teras sepertimana yang termaktub dalam Perintah Ulung beliau iaitu Memperkasakan Kesiagaan Aset ATM, Memperkasa Warga ATM Yang Cemerlang, Mengukuhkan Keupayaan ATM dalam Domain Siber dan Menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan. Teras-teras ini harus dijadikan sebagai panduan strategik dalam merealisasikan hasrat menjadikan Angkatan Tentera Malaysia sebagai sebuah angkatan berspektrum penuh yang holistik dan mampan.

PAT turut menasihatkan kepada semua bahawa amatlah penting untuk kita terus memastikan struktur rantaian pemerintahan (Chain of Command Structure) diperkasa sewajarnya dan pada masa yang sama, segala Rancangan Kontijensi (RANKON) yang sedia ada haruslah diperkemaskini dan difahami agar kita dapat memberikan respon yang cepat dan tepat apabila keadaan memerlukan kelak.

Turut hadir ke Amanat Tahun Baru 2022 ialah Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato' Seri Zamrose bin Mohd Zain; wakil Panglima Perkhidmatan, Pegawai-Pegawai Kanan perkhidmatan serta anggota ATM.