PEMBUKAAN EKSESAIS UDARA SHAKTI 2022 (EX US22) PERKUKUHKAN HUBUNGAN PROFESIONAL TUDM DAN IAF

1 2 3
4 5 6

 

Kuantan, 13 Ogos 22 - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kali ini buat pertama kalinya juga menjadi tuan rumah Eksesais Udara Shakti 2022 (EX US22) bersama Indian Air Force (IAF). Eksesais bermula pada 12 Ogos hingga 17 Ogos 22 dengan konsep Field Training Exercise (FTX) dan Subject Matter Expert Exchange (SMEE).

Bagi EX US22, ia adalah eksesais pertama kali melibatkan TUDM dan IAF namun kedua-dua angkatan udara ini telah pernah bekerjasama di dalam eksesais bilateral sebelum ini,antaranya HOP EX RMAF-IAF pada tahun 2018. Eksesais ini dapat memperkukuhkan hubungan profesional di antara dua angkatan udara Malaysia dan India disamping meningkatkan interoperability dalam melaksanakan latihan bersama di peringkat taktikal, membina dan mengukuhkan hubungan ketenteraan dua hala, perkongsian kemahiran dan pengalaman.

Perasmian Majlis Pembukaan EX US22 telah disempurnakan oleh Panglima Wilayah Udara 1, Mejar Jeneral Dato' Mahadzer bin Amin TUDM bersama dengan Pesuruhjaya Tinggi India, Mr B.N. Reddy yang diadakan di Auditorium No 10 Skuadron. Majlis turut dihadiri oleh Ketua Staf MAWILUD 1, Brigedier Jeneral Dato' Abdul Halim bin Hassan TUDM, para peserta dari IAF yang diketuai oleh Group Captain Yeshpal Singh Negi selaku Ketua Delegasi dan peserta dari TUDM. Acara pemakaian "patch" telah diadakan di antara TUDM dan IAF sebagai simbolik pembukaan Eksesais.

7 8 9
10 11 12

 

Selepas perasmian, para peserta diberikan taklimat eksesais yang disampaikan oleh Lt Kol Mohd Noraihan bin Abdul Karim TUDM merangkap Exercise Conductor (EXCON) diikuti ucapan pembukaan oleh Kolonel Razali bin Ahmad Jumali TUDM selaku Pengarah Eksesais(EXDIR) dan Team Leader IAF, Group Captain Yeshpal Singh Negi.

Program diteruskan lagi dengan sesi "Ice Breaking" di antara para peserta dua angkatan udara ini bagi mengeratkan hubungan serta memberi peluang kepada semua peserta bertukar kemahiran dan pengalaman individu. Melalui platform eksesais ini, hubungan kerjasama pertahanan di antara Malaysia dan India sentiasa diperkasa dan diperkukuhkan. Pada sesi ini juga, pihak TUDM telah menyambut Hari Kemerdekaan India yang ke 75. Keterujaan dan kegembiraan mereka disempurnakan dengan majlis pemotongan kek oleh Pesuruhjaya Tinggi India, Panglima Wilayah Udara 1 dan Team Leader IAF.

Dalam pada itu, TUDM ingin memaklumkan kepada orang ramai agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat TUDM dan IAF terbang rendah di sepanjang tempoh eksesais khususnya melibatkan ruang udara Kuantan dan kawasan sekitarnya. Pesawat-pesawat tersebut akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah di kawasan-kawasan tertentu yang digazetkan kawasan latihan.