MAJLIS AMANAT PEGAWAI PENGAWAL, PENCAPAIAN AIMS DAN PENGANUGERAHAN PTJ TERBAIK KEMENTERIAN PERTAHANAN TAHUN 2020

1 2 3
4 5 6
7 7 9
10 11 12

 

KUALA LUMPUR, 6 April 21 - Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM berserta kepimpinan tertinggi TUDM iaitu Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato' Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM dan Panglima Bantuan Udara, Lt Jen Dato' Muhamad Norazlan bin Aris TUDM telah menghadiri Majlis Amanat Pegawai Pengawal, Pencapaian Accountability Index Monitoring System (AIMS) dan Penganugerahan Pusat Tanggungjawab (PTJ) Terbaik Kementerian Pertahanan bertempat di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM hari ini. Ia merupakan acara tahunan Kementerian Pertahanan yang bertujuan menghargai usaha semua pihak yang terlibat dalam pengurusan kewangan MINDEF yang bertungkus lumus sepanjang tahun lalu dalam memastikan peruntukan yang diterima dapat dibelanjakan dengan teratur dan mematuhi peraturan yang berkuat kuasa.

Selain itu, majlis pada hari ini juga diadakan bagi memanifestasikan pencapaian 100% Jabatan/ Bahagian di Kementerian Pertahanan menerusi pengauditan AIMS. Antara 31 penerima Anugerah Sijil 100% AIMS tahun 2020, bagi kategori Program Pertahanan Udara, penerima AIMS adalah Markas Tentera Udara-BSM Latih, Akademi Tentera Udara (ATU), Pangkalan Udara Butterworth, Pangkalan Udara Kuantan, Pangkalan Udara Subang dan Pangkalan Udara Jugra. Skn 323 Bukit Lunchu pula menjadi penerima ketiga menerima Sijil PTJ Terbaik yang disampaikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan di dalam ucapannya menyatakan bahawa kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah menyediakan beberapa pakej untuk merancakkan semula ekonomi negara. Kementerian Pertahanan merupakan antara kementerian yang turut menerima peruntukan tersebut. Oleh itu, beliau berharap semua pihak yang terlibat mengambil langkah segera melakukan perancangan terutamanya bagi perkara-perkara yang melibatkan peruntukan pembangunan dan perolehan. Ini adalah penting untuk memastikan semua perbelanjaan yang telah diperuntukan dapat dibelanjakan dengan sebaik mungkin.

Turut hadir ke majlis ini ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), YBhg Datuk Hj Ruji bin Hj Ubi; Panglima- Panglima perkhidmatan, serta warga ATM dan Kementerian termasuk Komander Pangkalan/Komandan/Pegawai Memerintah pangkalan dan unit TUDM.