Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah menghadiri Australian International Airshow (AIA) & Aerospace and Defence Exposition 2023 yang berlangsung bermula pada 26 Februari hingga 5 Mac 2023 bertempat di Lapangan Terbang Avalon, Geelong, Lara, Victoria, Australia. Beliau turut diiiringi isteri, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan bagi program melibatkan isteri tetamu jemputan. Delegasi Panglima Tentera Udara turut disertai oleh Brigedier Jeneral Ahmad Khusairi bin Ahmad Fadli TUDM, Komander Pangkalan Udara Kuantan selaku pegawai pengiring ke acara antarabangsa ini.
Ketibaan Panglima Tentera Udara dan delegasi di Melbourne telah disambut oleh Kolonel Mahamad Fazli bin Mat Idris, Penasihat Pertahanan di Australia dan isteri, Puan Zuraidah binti Md Shahidun serta Mejar Muhammad Hazim bin Ali TUDM,Seconded Officer, Commercial Division, Capability Acquisition and Sustainment Group (CASG) yang turut membantu menguruskan keperluan logistik dan persediaan sepanjang penglibatan Panglima Tentera Udara dan delegasi di AIA 2023. Australian International Airshow (AIA) & Aerospace and Defence Exposition 2023 pada kali ini memfokuskan kepada teknologi udara tanpa manusia atau “drone” sebagai tema utama pertunjukan udara tahun ini.
Pengisian program Panglima Tentera Udara dimanfaatkan sepenuhnya terutama ke arah jalinan kerjasama antara rakan strategik antarabangsa yang berterusan dan dipereratkan dari semasa ke semasa. Panglima Tentera Udara dijemput menghadiri pertemuan “FPDA Air Chiefs” yang menemukan beliau bersama rakan sejawatan dan pemerintah tertinggi iaitu Air Marshal Robert Chipman (Australia), Air Vice Marshal Andrew Clark (New Zealand), Major General Kelvin Khong (Singapura), Air Chief Marshal Sir Mike Wigston (United Kingdom) dan Air Vice Marshal Geoffrey Harland (HQIADS). Program ini menjadi medan pertemuan unik pemimpin tertinggi angkatan udara negara-negara di bawah Perjanjian Pertahanan Lima Negara (Five Power Defence Arrangements (FPDA)) secara tidak formal dalam membincangkan penglibatan dan kerjasama hubungan pertahanan pelbagai hala (multilateral) khususnya dalam domain aeroangkasa serta berkongsi pandangan masing-masing.
Selain daripada itu, Panglima Tentera Udara terlibat dalam beberapa mesyuarat bilateral yang diadakan di Crown Metropol dan Crown Conference Centre, Melbourne. Antaranya, bersama Jeneral Kenneth Stephen Wilsbach (US PACAF); Air Chief Marshal Mike Wigston, Chief of the Air Staff of the Royal Air Force (UK); Air Marshal Robert Chipman, Chief of Air Force, Royal Australian Air Force (Australia); Jeneral Izutsu Shunji, Chief of Staff, Japan Air Self-Defence Force (Jepun); Brigedier Jeneral Hugues Pichevin, The French Chief of Air and Space Forces (Perancis) dan Major General Kelvin Khong, Republic of Singapore Chief of Air Force (Singapura). Mesyuarat bilateral ini antara lain membincangkan kerjasama pertahanan yang merangkumi perancangan dan pelaksanaan di peringkat strategik, operasi dan taktikal di samping mengukuhkan hubungan yang telah sedia terjalin di antara negara-negara terlibat. Panglima Tentera Udara turut mempelawa dan mengalu-alukan kedatangan pemimpin-pemimpin Angkatan Udara sebagai tetamu TUDM sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA '23) yang akan berlangsung pada 23 hingga 27 Mei 2023 nanti.
Pada 27 Feb 23, Panglima Tentera Udara menghadiri 2023 Chief of Airforce Symposium yang diadakan di Melbourne Convention & Exhibition Centre. Simposium yang bertemakan “Ready to Launch: Boosting Capability Delivery” dihadiri lebih kurang 500 tetamu jemputan termasuk delegasi tentera luar negara, pemain industri dan pembuat polisi serta ahli-ahli perniagaan. Seterusnya, pada sebelah petang, acara gemilang yang dinantikan ialah Avalon 2023 Defence & Industry Dinner & Airshow Opening Ceremony yang turut disaksikan oleh Panglima Tentera Udara dan isteri yang diadakan di Crown Palladium Ballroom.
Panglima Tentera Udara dan isteri turut menyaksikan pertunjukan udara termasuk yang mencuri perhatian penonton iaitu pertunjukan udara daripada Black Eagles. Beliau turut mengunjungi booth-booth pempamer serta mengadakan pertemuan dengan pemain utama industri pertahanan antarabangsa. Beliau juga turut meluangkan masa menyantuni Warga Udara yang sedang mengikuti kursus di Defence International Training Centre (DITC), Australia serta petugas-petugas sebagai tanda sokongan dan pembakar semangat.
Australian International Airshow (AIA) & Aerospace and Defence Exposition 2023 adalah acara dwitahunan dan bakal kembali pada tahun 2025. Ia menjadi antara platform terbaik yang dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi meletakkan TUDM kekal terbaik di persada antarabangsa. Panglima Tentera Udara dan isteri turut merakamkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak kedutaan, atase pertahanan serta semua pihak yang terlibat dalam melancarkan segala perjalanan urusan kerja beliau sepanjang acara berlangsung.