SENDAYAN, 7 Mac 23 – Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) yang disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan bertempat di Dewan Banquet, Wisma Perwira, Pangkalan Udara Sendayan, Negeri Sembilan.
Kementerian Pertahanan telah mengambil inisiatif untuk mengenang jasa para veteran yang telah menunjukkan sifat keberanian, keperwiraan dan sanggup berkorban demi kebebasan Malaysia daripada ancaman pengganas Komunis melalui penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM).
Seramai 450 Veteran ATM, balu serta wakil waris telah dianugerahkan PJM pada hari bersejarah ini. Sehingga hari ini, seramai 36,364 warga Veteran ATM telah menerima Pingat Jasa Malaysia manakala bagi veteran yang layak dan belum lagi dianugerahkan akan dijadualkan penganugerahannya pada masa akan datang.
Turut hadir dalam majlis penganugerahan ini ialah Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato' Sri Haji Affendi bin Buang TUDM; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato' Sri Muez bin Abd Aziz; Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKS PA), Mej Jen Mohamed Fauzi bin Kamis; Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV), Mej Jen Zambery Jefry bin Haji Darus; Komander Pangkalan Udara Sendayan, Kol Ahmad Rashidi bin Ithnin TUDM selaku tuan rumah bagi penganjuran majlis pada hari ini serta Kapten Datuk Hj Sharuddin bin Hj Omar mewakili ahli Majlis Veteran Kebangsaan dan wakil-wakil Persatuan Veteran ATM di sekitar Negeri Sembilan dan Melaka.