Panglima Wilayah Udara 2, Mej Jen Dato’ Hj Shamsudin bin Kassim TUDM telah mempengerusikan Mesyuarat Pemerintahan Panglima Wilayah Udara 2 (PANGWILUD 2) Siri 2/2022 yang diadakan di Palace Hotel, Kota Kinabalu, Sabah mulai 23 hingga 25 Nov 22.
Mesyuarat ini merupakan platform untuk PANGWILUD 2 bagi menyampaikan arahan serta hasrat terkini pucuk pimpinan TUDM kepada semua peringkat pemerintah di bawah naungan Wilayah Udara 2. Mesyuarat yang diadakan ini juga membentangkan kesiagaan operasi, prestasi dan membincangkan cabaran yang dihadapi oleh pangkalan dan unit di Wilayah Udara 2 serta pelan tindakan yang perlu dilaksanakan sebagai langkah untuk mengatasi kelemahan yang telah dikenalpasti.
Sebanyak tiga (3) taklimat telah dibentangkan semasa mesyuarat berlangsung, antaranya ialah Ancaman Keselamatan di Wilayah Udara 2 dari Perspektif ATB 2 yang disampaikan oleh Ketua Staf Angkatan Tugas Bersama 2, Work-Life Balance: How to Achieve Better at Operation Sqn Through Good Practice? , yang disampaikan oleh wakil daripada MTU Perkhidmatan dan akhir sekali Taklimat Kelestarian Warga – Cabaran Isu Perlanggaran Kes Tatatertib di Kalangan Warga TUDM yang disampaikan oleh Provos Marsyal TUDM.
Di akhir sesi mesyuarat, PANGWILUD 2 telah menyampaikan ucapan penggulungan dengan menyeru seluruh warga Wilayah Udara 2 supaya mengambil manfaat daripada persembahan dan taklimat yang telah disampaikan serta memberikan perhatian sepenuhnya terhadap cabaran-cabaran yang sedang dan bakal dihadapi. Seterusnya beliau berkehendakkan agar setiap pangkalan mahupun skuadron yang terlibat mengambil tindakan yang sewajarnya dalam mengatasi cabaran-cabaran tersebut bagi memastikan kedaulatan Wilayah Udara 2 dan negara terus dijaga dengan sebaiknya.