MAJLIS PENUTUP KURSUS MINGGU EKSEKUTIF MAKTAB KETAHANAN NASIONAL TAHUN 2023

1 2 3
4 5 6
7 8 9
10 11 12

 

PUTRAJAYA, 3 Nov 23 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman telah berkenan berangkat bercemar duli menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Minggu Eksekutif Maktab Ketahanan Nasional Tahun 2023 bertempat di Auditorium Utama, Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) hari ini. Majlis yang buat julung kalinya menjadi sejarah buat PUSPAHANAS kerana KDYMM Tuanku Sultan Kedah menjadi Sultan yang pertama bercemar duli hadir di PUSPAHANAS. Turut hadir ialah Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Datuk Seri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM mewakili Panglima Tentera Udara selain tetamu jemputan lain iaitu Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham bin Ishak; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato’ Zahani bin Hj Zainal Abidin TUDM, Pegawai-pegawai Kanan ATM, ahli Lembaga Gabenor (Board of Governors) serta Pegawai-pegawai Kanan Negeri Kedah Darul Aman termasuk kehadiran Dato' Seri Haji Norizan bin Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah.

Kursus Minggu Eksekutif anjuran Maktab Ketahanan Nasional (MKN) diadakan untuk memperkukuhkan kesedaran mengenai aspek keselamatan dalam kalangan peserta dan peranannya kepada pembangunan kestabilan negara. Sepanjang tempoh kursus selama seminggu ini, para peserta dibimbing untuk menghayati visi dan aspirasi negara, serta memperoleh kefahaman yang mendalam tentang strategi-strategi untuk membawa Malaysia ke puncak kecemerlangan.

Para peserta penganjuran kursus kali ini selain untuk mengasah profesionalisme dan identiti diri, mereka juga didedahkan untuk mendalami dan mengaplikasikan konsep pendekatan Whole-of-Government and Whole-of-Society (WOGOS) dalam mempertingkat kesedaran keselamatan negara. Kursus ini juga turut menjadi platform untuk merangsang kerjasama erat, memperkukuhkan jaringan profesional di antara peserta dari pelbagai aspek seperti disiplin ilmu, demi memperkasakan masyarakat dan negara.

Kursus melibatkan 46 peserta dari pelbagai pasukan keselamatan dan pertahanan serta badan penguasa antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk lima Pegawai Kanan TUDM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), juga Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dari pelbagai kementerian serta agensi termasuk Government Linked Companies (GLC) seperti Media Prima Sdn. Bhd., Telekom Malaysia, Malaysia Airport Berhad, Malaysia Airline System (MAS), Air Asia Berhad, PETRONAS, New Strait Times (NST) dan Defence Security Asia (DSA). Kursus pada kali ini juga mencatat sejarah dengan penyertaan sejumlah 37 Pegawai Kanan daripada Kerajaan Negeri Kedah dari Gred 52 hingga ke peringkat JUSA menjadikan jumlah keseluruhan seramai 83 peserta.