KUALA LUMPUR, 28 Dis 22 – Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah hadir menyaksikan Majlis Penghargaan Perkhidmatan Operasi Benteng 2020-2022 Sempena Pembubaran National Task Force (NTF) yang disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM bertempat di Auditorium Wisma Pertahanan, hari ini.
Majlis penuh bersejarah ini diadakan sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan kepada semua agensi, komponen serta warga NTF merangkumi pelbagai peringkat yang terlibat dalam menjayakan Operasi BENTENG.
Merujuk kepada Sidang MKN Bil 2 tahun 2022 telah dipersetujui bahawa NTF secara rasminya akan dibubarkan pada 31 Disember 2022. NTF adalah Task Force yang terdiri dari gabungan kerjasama 19 agensi kerajaan pada awal penubuhan pada 6 Mei 2020 dan menjadi 18 agensi apabila Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dibubarkan secara rasminya pada 30 September 2021. Op BENTENG melalui kuasa Akta 342 iaitu Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, telah digerakkan oleh NTF bagi membanteras kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke dalam negara serta mengekang penyebaran wabak COVID-19 sepertimana yang telah diarahkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 29 April 2020.
Kesepaduan ketiga-tiga komponen Op BENTENG meliputi elemen Angkatan Tentera Malaysia merangkumi Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia di bawah NTF telah berjaya membuktikan kompetensi anggota keselamatan dan penguatkuasaan yang cemerlang serta keutuhan integrasi sistem komunikasi yang diamalkan di lapangan. Ianya telah dibuktikan melalui peningkatan statistik tangkapan PATI dan nilai rampasan, yang mana sebanyak RM 1.10 bilion nilai rampasan telah berjaya dikumpulkan dari Mei 2020 hingga 26 Disember 2022. Sejumlah 7,490 tangkapan melibatkan 1,444 orang tekong, 23,894 orang PATI dan 1,377 orang dalam tempoh yang sama.
Dalam ucapan Panglima Angkatan Tentera, beliau berkata kejayaan penyatuan kesemua 18 agensi ini bukan hanya dikecapi oleh NTF, malah ianya telah memperlihatkan kepada rakyat bahawa NTF serius terhadap mengekang pencerobohan kemasukan Pendatang Tanpa Izin (PATI) ke dalam negara. Konsistensi di dalam setiap aktiviti pengusiran, tangkapan dan rampasan melalui OP BENTENG telah memberi impak positif sehingga dapat mewujudkan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi oleh rakyat. Penghormatan ini sekaligus mengundang rakyat untuk bersama-sama secara sukarela, menjadi mata dan telinga di dalam setiap kejayaan OP BENTENG secara keseluruhannya.
Panglima Angkatan Tentera turut menyempurnakan penyerahan Buku Coffee Table Versi 2 Operasi BENTENG melibatkan semua Ketua Pengarah dari 18 agensi berkenaan. Sebagai menghargai jasa dan sumbangan staf Markas NTF, PAT dan KPN turut menyematkan pin NTF kepada pegawai-pegawai kanan dari ATM, PDRM, APMM dan JIM yang berkhidmat di Markas NTF.
Turut hadir dalam majlis adalah Ketua Polis Negara, YDH Inspektor Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Acryl Sani bin Haji Abdullah Sani; Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Dato’ Mohd Zubil bin Mat Som; Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Dato’ Seri Khairul Dzaimee Daut; Komander NTF Laksamana Madya Dato’ Roslan bin Mohamad Yunus; Timbalan Ketua Pengarah MKN, Encik Hamzah bin Ishak serta pegawai-pegawai kanan dari agensi-agensi Keselamatan dan Penguat kuasa yang terlibat dalam Operasi BENTENG.