KUALA LUMPUR, 28 Dis 2022 – Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Hj Mohamad bin Hasan buat julung kalinya telah mengadakan lawatan kerja rasmi beliau ke Markas Tentera Udara di Wisma Pertahanan, hari ini.
Ketibaan YB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad bin Hasan ke Markas Tentera Udara telah disambut oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM; Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM dan Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Indera Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM.
Lawatan kerja rasmi pada hari ini dimulakan dengan sesi suai kenal pegawai kanan TUDM dan diteruskan dengan sesi taklimat TUDM kepada Menteri Pertahanan. Sesi taklimat ini diadakan adalah bertujuan untuk memahami tentang pengoperasian serta pengurusan TUDM.
Turut serta semasa lawatan ini ialah Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato’ Zahani bin Hj Zainal Abidin TUDM; Panglima Bantuan Udara, Mej Jen Masro bin Kaliwon TUDM; Panglima Wilayah Udara 1, Mej Jen Dato’ Mahadzer bin Amin TUDM; Panglima Wilayah Udara 2, Mej Jen Dato’ Hj Shamsudin bin Kassim TUDM serta pegawai-pegawai kanan TUDM.