KUALA LUMPUR, 14 Mac 23 - Panglima Tentara Nasional Indonesia (TNI), Yang Terhormat Laksamana TNI Yudo Margono memulakan lawatan rasminya ke Malaysia dengan membuat Kunjungan Hormat beliau kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM di Wisma Pertahanan. Turut serta semasa kunjungan hormat ialah Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM yang mewakili Panglima Tentera Udara bersama-sama Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman bin Ayob; Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman yang mewakili Panglima Tentera Darat serta beberapa pegawai kanan ATM.
Ketibaan beliau disambut oleh Panglima Angkatan Tentera serta Panglima-Panglima Perkhidmatan seterusnya diberikan penghormatan mengambil tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) berkekuatan seramai 3 pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat di ketuai Mej Nurul Fauzan bin Md Sabri.
Lawatan Yang Terhormat Laksamana TNI Yudo Margono ini bersama delegasi merupakan lawatan rasmi pertama beliau sejak mengambilalih jawatan Panglima Tentara Nasional Indonesia pada 19 Disember 2022.
Semasa Kunjungan Hormat, kedua-dua Panglima Angkatan Tentera menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Eksesais Latihan Gabungan Bersama Malaysia Indonesia Darat Samudera Angkasa (LATGABMA MALINDO DARSASA) terutama aspek latihan menguji terma terkandung dalam Prosedur Tetap (PROTAP) 16 berkaitan Operasi Menangani Keganasan dan PROTAP 18 berkaitan Prosedur, Taktik dan Teknik Menangani Keganasan.
LATGABMA MALINDO DARSASA merupakan eksesais yang dilaksanakan 3 tahun sekali dan dianjurkan secara bergilir-gilir antara ATM dan TNI. Eksesais berkenaan bertujuan melatih Combined Joint Task Force (CJTF) yang dibentuk dalam penyediaan menangani sebarang kemungkinan di kedua-dua buah negara di samping meningkatkan kerjasama, persefahaman dan profesionalisme antara kedua – dua ketumbukan ATM dan TNI berserta komponen bantuan.
Bersempena dengan lawatan ini juga, Yang Terhormat Laksamana TNI Yudo Margono dan isteri, Yang Terhormat Ny. Vero Yudo Margono bersama delegasi telah diraikan di Majlis Makan Malam Rasmi di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur.
Majlis yang dihoskan oleh Angkatan Tentera Malaysia dihadiri oleh Panglima Angkatan Tentera dan isteri, Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Datuk Hajah Tengku Muhaini binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah serta turut dihadiri oleh Panglima Operasi Udara dan isteri, Datin Datin Dr Halina binti Haron; Panglima Tentera Laut, Timbalan Panglima Tentera Darat serta Pegawai-Pegawai Kanan ATM bersama isteri masing-masing.
#DiplomasiPertahanan
#Profesionalisme