Pulau Pinang- Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah merasmikan pembukaan Seminar Pejuang Tahun 2023 yang bermula pada 13 Mac 23 hingga 15 Mac 23. Seminar ini turut dihadiri oleh Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Datuk Seri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato’ Zahani bin Zainal Abidin TUDM; Panglima Wilayah Udara 1, Mej Jen Dato’ Mahadzer bin Amin TUDM; Panglima Wilayah Udara 2, Mej Jen Dato’ Wan Amin Hafiz bin Wan Mahmud TUDM serta pegawai daripada markas, unit serta skuadron di bawah naungan TUDM dan ATM.
Panglima Tentera Udara turut mengadakan sesi dialog yang juga disertai Timbalan Panglima Tentera Udara bersama para peserta Seminar Pejuang 2023 dan memberi motivasi serta mengupas beberapa isu-isu yang timbul dalam peringkat taktikal dan operasi semasa.
Seminar yang berlangsung selama tiga hari dianjurkan oleh Markas Pemerintahan Operasi Udara (MPOU) TUDM dalam mencapai matlamatnya untuk berkongsi pandangan serta pendapat daripada pelbagai lapisan anak kapal pesawat pejuang sejajar dengan temanya pada kali ini iaitu "National Defence and Security Challenges: Opportunity in Air Domain". Selain daripada itu, platform seminar kali ini bertujuan sebagai elemen untuk mengenal pasti jurang di dalam peringkat operasi dan cabaran semasa untuk mencapai Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM atau dikenali sebagai “RMAF CAP 55” seterusnya membincangkan inisiatif dan idea di peringkat strategik, operasi dan taktikal untuk diimplementasikan di masa hadapan.
Seterusnya Majlis Penutup Seminar Pejuang Tahun 2023 menjadi lebih bermakna kepada para peserta kerana dihadiri dan disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM pada 15 Mac 23. Seminar yang menghimpunkan para pegawai khususnya Cawangan Juruterbang Pejuang telah memberi impak positif dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta sebagai platform ke arah perancangan hala tuju dan mencapai kesepakatan bersama demi mencapai misi dan visi yang telah ditetapkan.