GONG KEDAK, 23 April 21 – Panglima Bantuan Udara, Lt Jen Dato’ Muhamad Norazlan bin Aris TUDM mewakili Panglima Tentera Udara telah menyempurnakan Majlis Tahlil dan Kesyukuran Panglima Tentera Udara Peringkat Pangkalan Udara Gong Kedak. Ketibaaan Panglima Bantuan Udara telah disambut oleh Komander Pangkalan, Kol Wan Azwan Azwari bin Wan Ali TUDM serta Pegawai-Pegawai Eksekutif pangkalan.
Dalam kesempatan ini, Panglima Bantuan Udara telah mengambil peluang untuk membuat Lawatan Kerja ke atas unit - unit yang dipilih bagi mendapatkan perkembangan pengoperasian dan cabaran semasa yang dihadapi. Dalam sesi lawatan ini, beliau telah melawat Terminal Peluru 4 (TP4) dan telah diberikan taklimat berhubung keselamatan dan pengoperasian di Terminal Peluru yang disampaikan oleh Ketua Terminal Peluru 4, Mej Sameri bin Che Mamat TUDM. Seterusnya beliau dibawa meninjau kawasan TP4 dan diberi taklimat berkaitan cabaran semasa yang dihadapi.
Selain itu, beliau turut melawat MATRA 3 dan Pusat Simulasi Sukhoi SU-30MKM. Semasa lawatan di Menara ATC Pangkalan, beliau diberi penerangan mengenai keberkesanan “System Crash Phone” dan “Crash Alarm” yang di pasang dan telah beroperasi di Pangkalan Udara Gong Kedak. Panglima Bantuan turut menunaikan Solat Jumaat bersama warga pangkalan dan penduduk kampung Beris Pak Abu di Masjid Ar-Raudhah Pangkalan Udara Gong Kedak sebelum meneruskan lawatan ke Skn 321.
Kemuncak acara adalah Majlis Tahlil dan Kesyukuran Panglima Tentera Udara bersama warga pangkalan yang telah dilaksanakan di Masjid Ar-Raudhah Pangkalan. Panglima Bantuan Udara telah menyempurnakan majlis bacaan Yassin dan Tahlil bersama warga pangkalan yang dipimpin oleh Pegawai Agama Pangkalan, Mej Ustaz Ahmad Nasri bin Abdul Rahman sebelum berbuka puasa dan solat terawih. Majlis diakhiri dengan jamuan moreh serta penyampaian cenderahati dari Panglima Bantuan Udara kepada Komander Pangkalan dan Pegawai Memerintah Skn 321 termasuk Ketua Matra 4 dan Ketua Terminal Peluru 4.