KUANTAN, 23 April 2021 - Seramai 178 pegawai dan anggota TUDM bagi Markas, Pangkalan dan Unit di Zon Timur telah menerima Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) peringkat TUDM bagi tahun 2020 yang telah disempurnakan oleh Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato' Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM di Dewan Seri Angkasa, Pangkalan Udara Kuantan.
Mereka ini adalah di antara penerima APC daripada keseluruhan 1,219 penerima anugerah APC di dalam TUDM. Kesemua mereka menerima Sijil APC dan juga wang saguhati bernilai RM1,000.00 yang didepositkan ke dalam Skim Simpanan Pendidikan - Islamik (SPPN-i) di bawah seliaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Timbalan Panglima Tentera Udara dalam ucapannya mengucapkan syabas dan tahniah kepada warga TUDM yang telah menerima APC bagi tahun 2020. Pengiktirafan di atas prestasi kerja cemerlang yang ditunjukkan akan terus menjadi pemangkin bagi menyemarakkan motivasi warga TUDM dan pembangunan modal insan yang diimpikan.
Penyampaian Sijil APC Peringkat TUDM telah diadakan serentak di empat zon dan Pangkalan Udara Kuantan diberikan kepercayaan sebagai penganjur untuk Zon Timur.
Turut hadir ke penyampaian sijil APC tersebut adalah Panglima Wilayah Udara 2, Mej Jen Dato' Zahani bin Zainal Abidin TUDM; Ketua Staf Markas Wilayah Udara 2, Brig Jen Abdul Halim bin Abu Hassan TUDM dan Komander Pangkalan Udara Kuantan, Brig Jen Zulkifli bin Musa TUDM.