![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
KUALA LUMPUR, 24 Julai 2025 – Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM telah mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Perdana Menteri II, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof di Bangunan Parlimen Malaysia, hari ini.
Kunjungan ini merupakan pertemuan rasmi pertama beliau sebagai Panglima Tentera Udara Ke-21 sejak memegang tampuk kepimpinan tertinggi TUDM pada 26 Jun 2025 yang lalu. Ia turut menjadi platform untuk beliau mendapatkan pandangan dan nasihat daripada kepimpinan tertinggi negara dalam memastikan hala tuju dan pelaksanaan dasar pertahanan udara negara kekal relevan, berkesan dan berpaksikan kepada kepentingan nasional.
Pertemuan ini juga memberi ruang kepada Panglima Tentera Udara untuk menyatakan aspirasi serta fokus utama beliau bagi memacu TUDM ke arah sebuah angkatan udara yang kredibel, tangkas dan berwibawa selaras dengan teras Perintah Ulung beliau. Tumpuan turut diberikan terhadap pengukuhan kesiapsiagaan operasi dan pemerkasaan modal dalam mendepani cabaran keselamatan serantau secara lebih holistik dan menyeluruh.
Kunjungan ini secara langsung mencerminkan iltizam pucuk pimpinan tertinggi TUDM untuk terus memastikan setiap agenda pembangunan keupayaan TUDM mendapat perhatian daripada pucuk pimpinan dan juga kerajaan agar TUDM terus menjadi sebuah Kuasa Udara yang kredibel dalam menjaga kedaulatan dua wilayah negara.