KEMPEN TABUNG PAHLAWAN 2023 INITIATIF BANTUAN KECEMASAN KOMUNITI VETERAN ATM

1 2 3
4 5 6
7 8 9
10 11 12
13 14

 

KUALA LUMPUR, 22 Ogos 23 - Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM hari ini hadir ke pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2023 (KTP 2023) bertempat di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kempen Tabung Pahlawan 2023 ini telah dilancarkan oleh Menteri Pertahanan, YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan dan di iringi Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV ATM), Mejar Jeneral Zambery Jefry bin Haji Darus.

Objektif utama pelancaran KTP 2023 adalah sebagai satu tabung bantuan kecemasan bagi menyantuni komuniti veteran ATM yang memerlukan bantuan sokongan yang mungkin tidak dapat disalurkan oleh kerajaan dalam keadaan tertentu.

Dalam masa yang sama, sumbangan daripada tabung ini juga sudah pasti akan digunakan untuk meringankan beban kewangan keluarga veteran seperti perolehan peralatan pesakit yang tidak dapat dibekalkan oleh JHEV ATM terutamanya yang bersifat khas berdasarkan kepada isu kesihatan yang dihadapi dengan perakuan pegawai perubatan.

Selain itu, ianya dapat merangsang dan meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat agar sentiasa prihatin serta menghargai pengorbanan Veteran ATM di setiap lapisan rakyat Malaysia.

Menteri Pertahanan, YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan telah merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada para pahlawan negara yang telah berjuang dalam mempertahankan kedaulatan negara khususnya dalam usaha negara ini mencapai kemerdekaan serta tidak dilupakan beberapa syarikat korporat yang turut menyumbang di antaranya terdiri daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Bhd, Bousted Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (BHPetrol), DRB-HICOM Defence Technologies Sdn. Bhd. (DEFTECH), Pasukhas Development Sdn. Bhd, Rasumi Medipharma Sdn. Bhd, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Koperasi Tentera, SPANCO Sdn. Bhd serta dan Aspirasi Sdn. Bhd.