KUALA LUMPUR, 22 Ogos 23 – Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM telah menghadiri Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan Peringkat Kementerian Pertahanan 2023 di Dataran Wisma Pertahanan hari ini.
Bertemakan Malaysia MADANI ‘Tekad Perpaduan Penuhi Harapan' dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 pada tahun ini. Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan menyahut saranan kerajaan bagi menyemarakkan lagi sambutan bulan kebangsaan bersama 500 orang warga Kementerian Pertahanan termasuk kakitangan awam dan ATM. Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan antaranya pameran reruai oleh Bahagian dan Perkhidmatan ATM yang berkonsepkan Monumen Arca Menara Jam Sultan Abdul Samad yang berlatarbelakangkan panorama bangunan ikonik Kuala Lumpur. Selain itu, turut diadakan seni ‘kolam’ sempena logo rasmi hari merdeka yang terletak di ruang legar Wisma Pertahanan.
Bagi menyemarakkan lagi sambutan kali ini, bangunan Wisma Pertahanan turut dihiasi dengan Jalur Gemilang di setiap sudut dalam dan luar bangunan. Pada sebelah malam pula, wisma ini akan dihiasi dengan cahaya lampu bertemakan warna Jalur Gemilang iaitu Merah, Kuning, Biru dan Putih.
Tumpuan kemudian terarah di mana acara simbolik penyerahan Jalur Gemilang turut disempurnakan oleh YB Menteri Pertahanan kepada Pemangku Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Dr. Shahrazat binti Haji Ahmad mewakili warga Kementerian Pertahanan dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob mewakili seluruh warga ATM.