52 ANGGOTA CEDERA DIRAI DALAM MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA ANGGOTA CEDERA SEMPENA HARI ANGKATAN TENTERA MALAYSIA KE-89

1 2 3
4 5 6
7 8 9

 

KUALA LUMPUR, 8 Mac 23 - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menjadi penganjur bagi Majlis Ramah Mesra Bersama Anggota Cedera Sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-89. Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM turut hadir ke majlis pada hari ini yang disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM dan isteri, Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Datuk Hajah Tengku Muhaini binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah selaku Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman bin Ayob; Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman serta pegawai-pegawai kanan ATM.

10 11 12
13 14 15

 

Majlis diadakan bertujuan untuk meraikan anggota yang cedera kekal semasa melaksanakan tugasan, operasi atau latihan di dalam mahupun di luar negara sama ada yang masih berkhidmat ataupun yang sudah bersara selain dapat mengenang jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkan. Majlis yang dirancang setiap tahun ini, kali terakhir diadakan adalah pada tahun 2019. Namun akibat penularan wabak COVID-19 bermula tahun 2020, penganjuran majlis ini tidak dapat dilaksanakan sepertimana kebiasaan.

16 17 18
19 20 21

 

Pada hari ini, seramai 52 anggota cedera iaitu terdiri daripada tujuh (7) yang masih berkhidmat dan 45 yang telah bersara dari perkhidmatan ATM telah diraikan. ATM turut melaksanakan majlis ramah mesra di beberapa lokasi berbeza melibatkan 59 anggota yang masih berkhidmat manakala 488 anggota lagi adalah yang telah bersara. Setiap anggota yang diraikan menerima sumbangan saguhati bernilai RM500 dari Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) dan anggota muslim menerima tambahan RM200 dari Tabung Zakat ATM.

22

Kebajikan anggota ATM tetap menjadi agenda utama yang amat dititikberatkan dan dalam usaha memantapkan keupayaan ATM dalam memperjuangkan kedaulatan Negara. Sumber manusia merupakan aset terpenting di dalam sesuatu organisasi untuk terus kekal relevan dan cemerlang. Mereka yang diraikan adalah mereka yang telah berkorban jiwa dan raga demi keamanan yang dikecapi sehingga kini.