KUALA LUMPUR, 7 April 2021 – Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM telah menghadiri Forum Chiefs’ Circle Talk (CCT) Siri 1/ 2021 yang diadakan di Wisma Perwira ATM, hari ini.
Persidangan Chiefs’ Circle Talk (CCT) Siri 1/2021 anjuran MiDAS ini dilaksanakan selaras dengan penggubalan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) berdasarkan Garis Panduan Pelan Strategik Mindef 2020 hingga 2025 dan Kertas Putih Pertahanan. DIPKN mengambil kira tiga tonggak utama strategi pertahanan iaitu Cegah Rintang Berpadu, Pertahanan Komprehensif dan Perkongsian Berwibawa.
Sesi Chiefs’ Circle kali ini membawakan tema “Pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara”. Pemilihan tema ini dibuat bagi mengupas perkara di Kertas Putih Pertahanan iaitu Bahagian 3 , Bab 7 iaitu Sains, Teknologi dan Industri Pertahanan. Persidangan pada kali ini turut menjemput Bahagian Industri Pertahanan dan pihak konsultan dari Malaysian Industry Government Group for High Technology (MiGHT) bagi menyampaikan taklimat ringkas kepada yang hadir agar ianya boleh menjadi nilai tambah kepada Bahagian Industri Pertahanan dan MiGHT dalam membangunkan DIPKN pertama negara.
“Persefahaman dan kesepakatan merupakan kunci kejayaan kepada pelaksanaan DIPKN yang berkesan. Pemerkasaannya perlu dibuat dengan lebih serius dan perlu sentiasa dianggap penting kerana kegagalannya akan mengancam kesiagaan ATM dan kedaulatan negara secara umumnya”, jelas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM semasa ucapan aluan beliau. Beliau turut menjelaskan pendekatan yang perlu dilakukan sekarang adalah merombak semula formula dan melakukan transformasi yang lebih drastik dalam menyediakan strategi yang lebih berkesan. Ini bertujuan agar Industri Pertahanan Negara dapat mencapai kejayaan secara konsisten dan terus berkembang selaras dengan visi Dasar Pertahanan Negara yang mahukan keupayaan pertahanan negara mampu mencapai self-relience atau berdikari, dengan hanya bergantung kepada produk para pemain industri pertahanan tempatan. Beliau turut menyeru agar para pemain industri pertahanan tempatan perlu turut sama memainkan peranannya dalam melaksanakan “research and development” secara berkala dan juga pembudayaan inovasi ke arah peningkatan keupayaan produk yang menggunakan sumber-sumber tempatan tanpa bergantung kepada sumber antarabangsa.
Di forum kali ini, Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob yang tidak dapat hadir menyertai forum kali telah menyampaikan ucaptama yang ditayangkan secara rakaman video sebagai tanda komitmen dan sokongan padu beliau terhadap aktiviti yang berlangsung. Di dalam ucaptamanya, beliau menyatakan bahawa usaha menggubal dasar baru telah pun bermula semenjak tahun lepas dan akan diberi nama Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara. Menurutnya, satu dasar baharu yang lebih komprehensif perlu dibangunkan agar dapat memberi garis panduan yang memfokuskan ke arah penyelidikan, pembangunan kapasiti dan pembiayaan. Kerajaan akan terus melabur dalam sektor ini melalui tiga pendekatan iaitu merangsang penyelidikan dan pembangunan, mendorong limpahan kepada ekonomi negara dan memenuhi keperluan pertahanan negara.
Menurutnya lagi, industri pertahanan memerlukan tadbir urus yang cekap yang mana setiap fasa sesuatu projek itu memerlukan penelitian yang optimum dan telus. Ini sangat penting dilaksanakan kerana ianya melibatkan aset ketenteraan negara yang strategik.
Turut hadir ke CCT Siri 1/2021 ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abdul Aziz; Presiden The Chiefs’ Circle, Jeneral Tan Sri (Dr) Hashim bin Mohd Ali (Bersara), Pemangku Ketua Eksekutif MiDAS, En Noor Hisham bin Rosle; Panglima-Panglima Perkhidmatan, Mantan-mantan Panglima Angkatan Tentera dan Panglima Perkhidmatan TDM, TLDM dan TUDM serta mantan-mantan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.