MAJLIS PRA PELANCARAN FILEM 'AIRFORCE THE MOVIE : SELAGI BERNYAWA'

1 2 4
5 6 7

 

KUALA LUMPUR, 6 Apr 21 –Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM bersama Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi bin Buang TUDM telah hadir menyaksikan Majlis Pra Pelancaran filem ' Airforce The Movie: Selagi Bernyawa' di GSC Mid Valley bersempena kempen "Jom #SapotLokal Filem 2021" yang dianjurkan oleh Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas, Astro dan Six Fun Media.

Majlis Pra Pelancaran filem 'Airforce The Movie : Selagi Bernyawa' telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi bin Buang TUDM disaksikan oleh Pengarah Urusan Multimedia Entertainment, Datuk Steven Lim; Jen Tan Sri Dato' Mohd Ghazali Seth (Bersara), Pengerusi Golden Screen Cinemas Sdn. Bhd; pegawai-pegawai kanan TUDM serta media hiburan yang hadir.

Panglima Angkatan Tentera di dalam ucapan perasmian berkata, “Penghasilan sebuah filem yang baik berupaya mengangkat semangat keseluruhan penontonnya. Negara kita memerlukan satu garapan baru demi mengangkat semangat patriotisma serta memartabatkan perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia secara keseluruhannya". Beliau menaruh kepercayaan bahawa filem "AIRFORCE THE MOVIE: SELAGI BERNYAWA" boleh berjaya mencapai suatu penanda aras baharu di dalam industri seni perfileman negara.

Filem "AIRFORCE THE MOVIE: SELAGI BERNYAWA" arahan Zulkarnain Azhar merupakan filem aksi berkisar tentang Tentera Udara Diraja Malaysia lakonan Aiman Hakim, Dato’ Adi Putra, Scha Al-Yahya dan Nas-T. Filem ini mengisahkan Kapten Adib dan Mejar Adnan bersama pasukannya yang terlibat di dalam misi bantuan kemanusiaan di Namburi, sebuah negara yang sedang dalam pergolakan. Di dalam perjalanan pulang ke Malaysia, mereka telah ditimpa insiden buruk. Mengetahui perkembangan ini, Tentera Udara Diraja Malaysia telah mengarahkan misi untuk menyelamatkan mereka semua. Demi keselamatan bersama, mereka harus berkorban dan berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Turut hadir di pra pelancaran tersebut ialah Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato' Mohamad Salleh bin Hj Osman TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mej Jen Mohd Shahada bin Ismail TUDM dan Komander Pangkalan Udara Subang, Brig Jen Omar bin Hj Dawami TUDM.

Filem yang penuh aksi dan menyentap emosi penonton ini bakal membawa harapan kejayaan filem yang berkonsepkan ketenteraan. Filem ini dirancang akan ditayangkan pada bulan Ogos 2021 bersempena sambutan bulan kemerdekaan.