MAJLIS PEMAKAIAN BERET PBB, PENYERAHAN BENDERA MALAYSIA DAN PENGHANTARAN KUMPULAN PERTAMA MALAYSIAN BATTALION 850-9 KE LUBNAN

1 2 3
4 5 6
7 8 9

 

SUBANG, 30 September 2021 - Panglima Bantuan Udara, Lt Jen Dato' Muhamad Norazlan bin Aris TUDM yang mewakili Panglima Tentera Udara telah hadir menyaksikan Majlis Pemakaian Beret PBB, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-9 bertempat di Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang. Majlis ini telah disempurnakan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Yang Berhormat Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Menteri Kanan Pertahanan di dalam ucapannya turut menyatakan keistimewaan MALBATT 850-9 ini yang mana menampilkan jumlah anggota wanita paling ramai sejak ATM terlibat dalam misi UNIFIL iaitu 11 pegawai dan 75 anggota LLP. Malah, kesemua anggota wanita ini juga akan melaksanakan misi secara berterusan selama setahun berbanding 6 bulan secara penggiliran sebelum ini. Ianya selari dengan keperluan semasa UNIFIL yang memerlukan lebih ramai penglibatan anggota wanita bagi melaksanakan tugas berkaitan masyarakat melibatkan wanita-wanita tempatan sekaligus membuktikan keupayaan dan kredibiliti anggota wanita ATM.

Tambah beliau, "penglibatan ATM dalam melaksanakan misi di bawah panji-panji PBB di Lubnan telah bermula belasan tahun lalu. Pertama kalinya Kontijen Malaysia Pertama (MALCON I) telah dihantar bagi menyertai misi UNIFIL di Lubnan adalah pada tahun 2007. Kita semua harus bangga kerana selepas belasan tahun, Malaysia terus diberi kepercayaan dan penghormatan tertinggi di peringkat antarabangsa untuk kekal terlibat dalam misi pengaman antarabangsa di Lubnan. Ia bukan sahaja menyerlahkan kemampuan anggota-anggota ATM bahkan membuktikan kredibiliti, kewibawaan dan kecemerlangan ATM itu sendiri".

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan telah menyempurnakan Majlis Pemakaian beret PBB yang diadakan sebagai simbolik dan dipakaikan kepada Komander MALBATT 850-9, wakil ketiga-tiga perkhidmatan (TD,TLDM, TUDM), wakil ABDB, wakil anggota wanita dan anggota lain-lain pangkat (LLP) ATM. Sejurus selepas itu, beliau menyempurnakan penyerahan bendera Malaysia kepada Komander MALBATT 850-9.

Penghantaran Kumpulan Pertama pada hari ini melibatkan seramai 219 orang anggota yang mana terdiri 48 Pegawai dan 171 anggota LLP diketuai oleh Komander MALBATT 850-9, Kol Megat Maz Ardi bin Nohuddin. Daripada TUDM, seramai dua (2) pegawai iaitu Lt Kol Kamisah bt Salimin TUDM selaku PS 1 Tadbir MALBATT 850-9 dan Mej Mohd Azhar bin Azmi TUDM serta 16 anggota LLP telah terlibat bagi pergerakan pertama.

Keseluruhan anggota MALBATT 850-9 adalah seramai 854 orang yang mana terdiri dari 83 pegawai dan 771 anggota LLP termasuk tiga (3) pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Awam Kewangan dari Kementerian Pertahanan. MALBATT 850-9 diaturgerakkan ke Lubnan secara berperingkat melibatkan 4 peringkat penghantaran.

MALBATT 850-9 akan menggantikan MALBATT 850-8 bagi meneruskan misi UNIFIL di bawah kawalan operasi Markas Sektor Barat UNIFIL. Pasukan ini akan ditempatkan di dua (2) penempatan tetap iaitu Kem Ma’rakah serta Kem Tibnin dan akan melaksanakan tugas-tugas operasi yang diberikan oleh UNIFIL khususnya di kawasan tanggungjawab yang ditetapkan. Kumpulan Pertama MALBATT 850-8 dijangka tiba di Malaysia pada petang 1 Oktober 2021.

Turut hadir menaksikan hari ini ini adalah Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM; Pemangku Pesuruh Jaya Tinggi Kedutaan Brunei Darussalam, Yang Mulia Pengiran Asnawi Arbi Pengiran Dato’ Paduka Hj Sharifuddin; KSU Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abdul Aziz , Panglima-Panglima Perkhidmatan, Pegawai-pegawai Kanan ATM dan ABDB serta pegawai-pegawai Kanan Kementerian Pertahanan.

Seluruh warga TUDM mengucapkan Selamat Meneruskan Tugas dan Menabur Jasa demi keamanan dunia kepada MALBATT 850-9 meskipun mereka tidak dihantar oleh keluarga sebagaimana kebiasaan sebelum pandemik Covid-19 melanda, namun mereka semua tetap diiringi doa dan restu dari seluruh ahli keluarga dan rakyat Malaysia. Selamat Bertugas.