KUALA LUMPUR, 9 Mac 23 – Air Chief Marshal, Alongkorn Vannarot, Commander-In-Chief Of The Royal Thai Air Force (RTAF) telah mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke Malaysia khususnya ke Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selama dua hari bermula pada 8 dan 9 Mac 23. Beliau turut diiringi isteri, Group Captain Panprapa Vannarot bagi program melibatkan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Udara dalam rangka lawatan kerja ini.
Ketibaan beliau dan delegasi dengan pesawat Tentera Udara Diraja Thailand pada 8 Mac 23, jam 11.00 pagi di Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang telah disambut oleh Brigedier Jeneral Muhd Aznor bin Hj Md Ghazali TUDM serta pegawai Sekretariat Markas Tentera Udara yang mengkoordinasi lawatan ini. Air Chief Marshal, Alongkorn Vannarot memulakan lawatan rasmi ke Malaysia dengan kunjungan Kunjungan Hormat beliau kepada Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM di Markas Tentera Udara, Wisma Pertahanan.
Sebaik tiba, beliau disambut oleh Panglima Tentera Udara serta Pegawai-pegawai Kanan TUDM dan seterusnya diberikan penghormatan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari TUDM yang terdiri daripada tiga (3) pegawai dan 37 anggota Lain-Lain Pangkat diketuai oleh Mejar Mohd Hafiz bin Mat Yusof TUDM serta diiringi Pancaragam Pusat TUDM dibawah pimpinan Kapten Sabri bin Hamil TUDM selaku Pegawai Pancaragam Pusat TUDM. Selesai memeriksa perbarisan, beliau telah diperkenalkan dengan Pegawai-pegawai Kanan TUDM sebelum dibawa ke Pejabat Panglima Tentera Udara bagi sesi kunjungan hormat berkenaan. Turut menyambut ketibaan beliau di Wisma Pertahanan ialah Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM, Panglima Operasi Udara; Leftenan Jeneral Dato’ Zahani bin Hj Zainal Abidin TUDM, Panglima Pendidikan dan Latihan Udara; Mejar Jeneral Masro bin Kaliwon TUDM, Panglima Bantuan Udara; Mejar Jeneral Dato’ Mahadzer bin Amin TUDM, Panglima Markas Wilayah Udara 1; Mejar Jeneral Dato’ Hj Saharuddin bin Mansor TUDM, Asisten Ketua Staf Operasi dan Strategi serta Mejar Jeneral Dato’ Muhammad Tarminzi bin Hj Mustapha TUDM, Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan yang kemudiannya menyertai taklimat kepada delegasi berhubung perkembangan semasa, cabaran dan hala tuju TUDM. Turut sama dibincangkan melibatkan kerjasama pertahanan angkatan udara kedua-dua negara serta hubungan diplomasi Malaysia dan Thailand termasuk melibatkan latihan, eksesais serta kursus-kursus kepakaran.
Berikutan lawatan ini juga, Air Chief Marshal, Alongkorn Vannarot, Commander-In-Chief Of The Royal Thai Air Force (RTAF) telah dianugerahkan dengan Sayap Penerbangan Kehormat (Honorary Wing) Tentera Udara Diraja Malaysia. Majlis Pemakaian Sayap Penerbangan Kehormat telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara kepada rakan sejawatannya merupakan pengiktirafan khas tertinggi Tentera Udara Diraja Malaysia kepada seseorang pegawai tentera negara sahabat sebagai menghargai sumbangan, komitmen dan jasa yang telah ditunjukkan oleh beliau dalam mengeratkan kerjasama dan hubungan dua hala di antara Tentera Udara Diraja Thailand dengan Tentera Udara Diraja Malaysia.
Air Chief Marshal, Alongkorn Vannarot dan isteri serta delegasi turut diraikan di dalam Majlis Makan Malam Rasmi di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia. Panglima Tentera Udara di dalam ucapannya sangat menghargai kesudian Air Chief Marshal, Alongkorn Vannarot dan isteri, Group Captain Panprapa Vannarot melawat Malaysia amnya dan TUDM khususnya yang menjadi bukti hubungan kerjasama antarabangsa yang sedia terjalin erat di antara kedua-dua pihak dan berharap diplomasi pertahanan akan terus kekal berterusan demi memelihara keamanan serta kepentingan serantau.
Dalam rangka lawatan dua hari ini juga, beliau dan delegasi turut dibawa melawat sekitar kawasan pelancongan dan kebudayaan serta bangunan ikonik Malaysia yang merancakkan industri pelancongan di samping mengabadikan kenangan berada di Malaysia. Delegasi beliau berangkat pulang ke Thailand dari Pangkalan Udara Subang pada 9 Mac 2023 jam 3.45 petang.
Sesungguhnya lawatan rasmi ini adalah sebagai tanda hubungan akrab yang sedia terjalin antara kedua-dua angkatan udara. Ia juga membuka ruang perbincangan secara langsung di antara kedua pihak menyentuh berkenaan pelbagai isu diplomatik dan kerjasama strategik pertahanan.