SUBANG, 23 April 2021 - Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Zon Tengah Peringkat TUDM bagi tahun 2020 bertempat di Dewan D' Hornet, KRTU. Pangkalan Udara Subang telah diberikan penghormatan sebagai penganjur Penyampaian Sijil APC untuk Zon Tengah.
Pada tahun ini seramai 1,219 penerima APC 2020 warga TUDM telah dipilih dan penyampaian sijil APC tahun ini diadakan secara serentak di empat zon iaitu Zon Tengah di Pangkalan Udara Subang, Zon Timur di Pangkalan Udara Kuantan, Zon Utara di Pangkalan Udara Butterworth dan Zon Sarawak di Pangkalan Udara Kuching. Manakala untuk Zon Sabah akan diadakan pada 26 April 2021 di Pangkalan Udara Labuan.
Penyampaian Sijil APC adalah sebagai memberi penghargaan dan pengiktirafan, meraikan pencapaian prestasi dan mutu kerja cemerlang yang dihasilkan oleh pegawai serta anggota TUDM dalam jawatan dan bidang masing-masing. Penerima-penerima anugerah merupakan calon yang telah dipilih dan diluluskan oleh Lembaga Pemilihan APC TUDM berdasarkan prestasi pada tahun 2020 serta mendapat persetujuan daripada pucuk pimpinan tertinggi TUDM.
Majlis yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara pada hari ini hanya melibatkan seramai 106 orang penerima sebagai wakil untuk Zon Tengah yang melibatkan 22 Markas/Pangkalan/Unit TUDM kerana kapasiti dewan yang terhad mengikut SOP COVID-19 yang ditetapkan.
Penerima APC menerima Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan hadiah prestasi berjumlah RM1,000.00 yang akan dibayar dalam bentuk akaun Simpanan Pendidikan Nasional-Islamik (SSPN-i) di bawah seliaan PTPTN.
Panglima Tentera Udara di dalam ucapannya menyatakan harapan beliau agar pengiktirafan dan penghargaan yang telah diberikan kepada setiap penerima APC akan menjadi pendorong kepada seluruh warga TUDM untuk melaksanakan tugas serta amanah yang telah dipertanggungjawabkan dengan lebih baik, serta membudayakan kecemerlangan di tempat kerja mahupun dalam kehidupan harian. Penganugerahan ini juga menjadi pemangkin bagi menyemarakkan motivasi warga TUDM dan pembangunan modal insan.
Panglima Tentera Udara menyatakan bahawa segala strategi dan rancangan peningkatan aset dan pemodenan TUDM tidak akan berhasil tanpa adanya warga TUDM sebagai modal insan yang profesional. Menurutnya, modal insan yang perkasa adalah penjana utama di dalam pengukuhan angkatan udara dan diperkasakan dengan nilai teras TUDM iaitu integriti, keberanian, kecemerlangan, semangat berpasukan dan mementingkan perkhidmatan sebagai pemangkin dan pengganda (multiplier) kepada keupayaan modal insan demi mencapai misi dan visi TUDM.
Turut hadir pada majlis ini adalah Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mej Jen Mohd Shahada bin Ismail TUDM; Asisten Ketua Staf, Komander Pangkalan, Pegawai Memerintah serta Pegawai-pegawai Kanan Markas, Pangkalan dan Unit yang terlibat untuk Zon Tengah.