WARGA NO 15 SKUADRON TUNAIKAN IMPIAN ADIK MUHAMMAD YAZEED BIN MOHD YAMIN

2 4

 

BUTTERWORTH - Warga No 15 Skn telah menerima permohonan melalui Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara atau Friend of Childhood-Cancer Northern (FOCCAN) yang menyampaikan hasrat bagi menunaikan impian adik Muhammad Yazeed bin Mohd Yamin, berusia 15 tahun yang diuji dengan masalah kesihatan mengidap sakit “Leukimia All Relapse”. Adik Muhammad Yazeed mempunyai hasrat dan minat yang mendalam untuk menjadi salah seorang Juruterbang TUDM. Atas dasar keprihatinan dan empati dengan Adik Muhammad Yazeed, No 15 Skn mengambil inisiatif untuk berjumpa dengan Adik Muhammad Yazeed bagi memberikan sokongan serta semangat untuk terus kuat berjuang dalam mencapai impian beliau.

Pada tanggal 19 Oktober 2023, hasrat Adik Muhammad Yazeed dipenuhi apabila beliau dikunjungi khas oleh tiga Juruterbang TUDM yang diketuai oleh Pegawai Memerintah No 15 Skn, Lt Kol Hafiz bin Hj Abu Bakar TUDM serta diiringi Kapt Muhammad Afiq bin Mohd Yusop TUDM dan Kapt Mohammad Ariff bin Noor Suhaimi TUDM. Adik Muhammad Yazeed yang ditemani ibu, Puan Nurul Husna Shaari dan bapa, Encik Mohd Yamim Ishad serta wakil FOCCAN teruja dengan pertemuan dan dapat bertentang mata dengan juruterbang TUDM. Adik Muhammad Yazeed dijangka akan menjalani pembedahan transplant pada bulan November di Hospital Besar Pulau Pinang.

Seluruh warga TUDM mendoakan agar Adik Muhammad Yazeed selamat menjalani pembedahan, dipermudahkan segala urusan menjalani rawatan serta beroleh kesihatan yang baik.