MESYUARAT KOORDINASI PATROLI UDARA BERSAMA TERKOORDINASI MALAYSIA - INDONESIA (PATKOR MALINDO) SIRI 2/23 DI MEDAN INDONESIA

1 2 3
4 5 6

 

MEDAN, 3 Nov 23 – Satu Mesyuarat Koordinasi bagi Patroli Udara Bersama Terkoordinasi Malaysia Indonesia atau PATKOR MALINDO Siri 2/23 di antara TUDM dan Tentera Nasional Indonesia - Angkatan Udara (TNI-AU) telah dilaksanakan di Markas Komando Sektor 1 (Kosek 1) Medan Indonesia bermula pada 1 hingga 3 Nov 23. Delegasi TUDM terdiri daripada 7 peserta di peringkat Markas dan Unit yang diketuai oleh Pegawai Staf 1 Operasi Udara MPOU, Lt Kol Ramlan bin Mohd Yunus TUDM.

Turut terlibat di dalam Mesyuarat ini ialah Pegawai Perhubungan TUDM - Medan iaitu Mej Hisham Arizal bin Muhammad TUDM manakala Penolong Penasihat Pertahanan di Kedutaan Besar Malaysia Jakarta, Lt Kol Aznan bin Alias TUDM hadir sebagai Pegawai Jemputan. Kosek 1 telah mengalu-alukan kedatangan delegasi TUDM ke Medan dan merakamkan ucapan penghargaan kepada organisasi TUDM yang menyelaraskan mesyuarat ini agar operasi Patroli Udara Bersama atau rondaan maritim udara
dapat dilaksanakan dengan jayanya.

TUDM dan TNI-AU menyambut baik keputusan untuk mengadakan mesyuarat secara bersemuka yang dilihat lebih efektif dan efisien setelah ianya hanya dilaksanakan secara persidangan video semenjak pandemik Covid-19 bermula. Mesyuarat secara bersemuka ini diharap dapat memupuk hubungan silaturahim yang sedia terjalin erat selama ini dapat diteruskan demi persefahaman yang baik di antara TUDM dengan TNI-AU dan hubungan diplomasi pertahanan.

Terdahulu, delegasi TUDM telah melaksanakan Kunjungan Hormat ke atas Konsul Jeneral Malaysia di Konsulat Jeneral Malaysia Medan iaitu Encik Aiyub bin Omar. Kunjungan Hormat ini sebagai menyantuni peranan beliau yang menerajui agensi Kerajaan Malaysia yang berada di Sumatera Utara. Encik Aiyub bin Omar merakamkan ucapan terima kasih di atas Kunjungan Hormat dari delegasi TUDM dan berharap keselamatan di sepanjang ruang udara Selat Melaka sentiasa terpelihara dengan adanya operasi Patroli Udara Bersama ini.