SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN AKADEMI TENTERA UDARA KE-42

1 2 3
4 5 6

 

IPOH, 23 Jun 22 - Akademi Tentera Udara (ATU) buat julung kalinya menyambut Hari Ulang Tahun penubuhannya ke-42. Tarikh Hari Ulang Tahun (HUT) ini diambil selaras perasmian ATU pada tanggal 23 Jun 1982 oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Idris Shah II (Marhum Affifullah), Sultan Perak ke-32.

Majlis HUT ATU dimulakan dengan Perbarisan Bulanan Komandan ATU bertempat di Padang Kawad A. Kol Junairi bin Baharom TUDM selaku Komandan ATU telah mengambil tabik hormat dan membuat pemeriksaan barisan yang terdiri daripada lima (5) orang pegawai dan 166 anggota LLP yang diketuai oleh Mej Muhammad Fauzee bin Kamarudin TUDM. Antara pengisian semasa perbarisan tersebut adalah penyampaian Sijil Penghargaan kepada pegawai serta anggota yang telah memperoleh pencapaian cemerlang dalam mengharumkan nama ATU di peringkat TUDM dan Kebangsaan.

7 8 9
10 11 12

 

Upacara pemakaian pangkat turut diadakan bagi tujuh (7) anggota ATU serta penganugerahan Jurulatih dan Staf Cemerlang ATU bagi penggal pertama tahun 2022. Selain itu, Komandan turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan sempena Program Bulan Membaca peringkat ATU. Pertandingan seumpama ini dijalankan bermula 21 Mei hingga 21 Jun yang lalu dengan penyertaan yang amat menggalakkan daripada seluruh staf ATU.

Dalam ucapan beliau, Komandan menzahirkan tanda kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana diberi kesempatan untuk menyambut HUT ATU buat pertama kali sejak pengambilan pertama rekrut TUDM pada tahun 1980. Beliau turut menekankan visi dan misi ATU iaitu melahirkan pegawai serta askar laskar yang berpengetahuan, berani, bermoral serta memiliki kemahiran asas dan kepakaran profesional untuk melaksanakan tugas dalam TUDM melalui latihan yang efisien dan berkesan.

13 14 15
16 17 18

 

Sejarah penubuhan ATU bermula sejak penubuhan pada tahun 1979 menggantikan Pusat Latihan Rekrut di TUDM Kuantan, TUDM Kinrara dan tumpangan di PUSASDA. Pada 24 Mac 1980, pusat latihan ini telah beroperasi dengan pengambilan pertama rekrut seramai 1200 orang dan Lt Kol (U) Mohamad Ali bin Rejab sebagai Komandan pertama akademi. Pusat latihan ini kemudian dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Sultan Perak Al-Marhum Sultan Idris Shah pada 23 Jun 1982 sebagai Pusat Latihan Rekrut (PLR) TUDM. Sejak penubuhan, akademi ini telah beberapa kali bertukar nama bermula Pusat Latihan Rekrut TUDM, Sekolah Tentera Udara, Institut Latihan Tentera Udara, dan Akademi Tentera Udara sehingga kini.

Sejurus selepas upacara perbarisan, Komandan serta warga akademi diraikan melalui perasmian pembukaan semula Kantin Akademi yang mula beroperasi semula serta acara menanam pokok durian di 'Survival Village' sebanyak 11 anak pokok bagi menyahut seruan Menteri Kanan Keselamatan supaya warga tentera memanfaatkan kawasan sedia ada dengan berbakti kepada tanah. Turut bersama-sama menjayakan HUT ATU adalah penglibatan daripada agensi luar yang membuat pameran dan 'informative speech' antaranya Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Koperasi Tentera, Bank Affin, PERNAMA dan beberapa lagi badan korporat.

Aktiviti pada sebelah petang lebih bersifat riadah dan semangat kerjasama antara anggota. Acara dimulakan dengan aktiviti zumba yang diwakili oleh penari daripada Badan Kesenian Tentera Udara (BKTU), acara 'road relay' sejauh 400m, sukaneka rakyat, dan diakhiri dengan kerusi berirama bertempat di Dewan Rajawali ATU. Kehadiran wakil BAKAT ATU turut memeriahkan suasana semasa acara berlangsung.

Sambutan HUT ATU diteruskan dengan anggota serta pegawai ATU termasuk kakitangan awam berkumpul di Surau Al-Hawaiyyah bagi menyempurnakan majlis bacaan yasin dan tahlil sempena HUT tahun ini. Sebelum tirai HUT dilabuhkan, Komandan serta seluruh warga akademi berkesempatan menjamu juadah ringan sebagai menghargai ukhuwah yang terjalin sebagai satu keluarga besar di tempat kerja. Acara memotong pulut kuning turut diadakan sempena HUT kali ini. Sikap kekitaan yang dipamerkan oleh segenap warga akademi menunjukkan jalinan erat yang menjadi pemangkin kemajuan dan kejayaan Akademi Tentera Udara di dalam TUDM dan ATM. Selamat Hari Ulang Tahun Akademi Tentera Udara. Cergas Berdisiplin.