LUMUT, 13 JUL 24. BAKAT PU Subang telah disambut oleh BAKAT Laut Armada Barat (Lumut) semasa program lawatan ke TLDM Lumut. Program lawatan ini telah dianjurkan oleh Biro Rekreasi BAKAT PU Subang sebagai Lawatan Penanda Aras BAKAT Pangkalan Udara Subang bagi Tahun 2024. Pelaksanaan program lawatan adalah pada 13 Jul 24 (Sabtu) di Pangkalan TLDM Lumut dan 14 Jul 24 (Ahad) Akademi Tentera Udara, Ipoh.
Keseluruhan rombongan BAKAT PU Subang yang hadir adalah seramai 45 orang dan diketuai oleh Puan Haslin binti Ismail, Pengerusi BAKAT PU Subang bersama Timbalan Pengerusi,Ketua Biro,AJK dan ahli-ahli BAKAT.
Objektif program adalah bagi mengeratkan silaturrahim, menambah pengetahuan berkaitan pengurusan BAKAT Laut, aset pertahanan TLDM dan fasiliti kerajaan yang sedia ada di Pangkalan TLDM Lumut.
Ketibaan rombongan di Pusat Pembangunan Wanita (PPW) pada jam 11.45 pagi, telah disambut mesra oleh YBhg Datin Dr Liliwati binti Ismail, Timbalan Pengerusi BAKAT Laut Armada Barat bersama Ketua Biro dan ahli BAKAT Laut yang berkelapangan.
Setelah diberi taklimat ringkas oleh Lt Kdr Shariza binti Shamsuddin TLDM, Setiausaha BAKAT Laut Armada Barat, rombongan dibawa ke Amal Shoppe untuk melihat produk yang dihasilkan oleh ahli BAKAT Laut. Seterusnya rombongan dibawa ke Dewan Banquet untuk taklimat organisasi BAKAT Laut Armada Barat (Lumut) dan makan tengah hari yang disediakan oleh Wisma Samudera.
Selesai makan tengah hari, rombongan dibawa melawat sekitar Pangkalan TLDM Lumut dan seterusnya ke KD SRI INDERA SAKTI (KD SIS).
Setibanya di kapal, rombongan telah dibahagikan kepada 2 kumpulan. Taklimat kepada Pengerusi dan Ketua Biro telah diberikan oleh Kdr Mohd Effendy bin Mohd Shuib TLDM, Pegawai Memerintah.
Sesi lawatan kapal selesai pada jam 1600H, dan rombongan bergerak ke Akademi Tentera Udara, Ipoh.
Ketibaan rombongan di Akademi Tentera Udara (ATU), Ipoh pada jam 08.30 malam, telah disambut mesra oleh Puan Ruziati binti Hasan, Pengerusi BAKAT ATU bersama Ketua Biro dan ahli BAKAT ATU yang berkelapangan di kawasan penginapan di Wisma Perwira.
Taklimat ringkas telah diberikan oleh Kapt Nik Nooraida binti Nik Sulaiman TUDM, Pegawai BAKAT ATU semasa jamuan makan malam di Wisma Perwira. Selesai makan tengah malam, rombongan terus beristirehat di penginapan yang disediakan.
Pada 14 Jul 24 (Ahad) lawatan dimulakan dengan Ceramah Pembangunan Anak-Anak yang diberikan oleh Dr Fadzillah dari BAKAT PU Subang bertempat di Auditorium Nuri. Program diteruskan dengan melawat sekitar kawasan Ipoh sehingga tengahari sebelum pulang untuk makan tengah hari dan berehat untuk program berkayak pada petangnya.
Selesai program berkayak pada 5.30 petang, rombongan telah bergerak pulang ke PU Subang.
Semoga objektif lawatan tercapai dan ukhwah antara BAKAT Laut dan BAKAT Udara yang sedia terjalin akan lebih kukuh demi kecemerlangan organisasi BAKAT.
"BERSAMA BERBAKTI"