LABUAN, 13 Okt 23 - Pangkalan Udara Labuan bersama Markas Wilayah Udara 2 (MAWILUD 2) telah melaksanakan Larian 10 KM yang telah dianjurkan oleh PU Labuan bermula di Dispersal Area Pangkalan Udara Labuan. Larian ini adalah bertujuan untuk memberi sokongan kepada Kementerian Belia dan Sukan bersempena dengan Hari Sukan Negara 2023.
Seramai 941 peserta terdiri daripada semua lapisan pegawai dan anggota LLP dari PU Labuan, MAWILUD 2 dan juga staf awam telah mengambil bahagian dalam acara larian ini yang dirasmikan oleh Ketua Staf MAWILUD 2, Brig Jen Rozainy Bin Ahmad Rapiee @ Ahmad Rofie TUDM.
Sebelum acara larian dimulakan, sesi pemanasan serta taklimat keselamatan telah diberikan oleh Physical Trainer Instructor berkaitan laluan dan langkah keselamatan yang perlu dititikberatkan oleh peserta disepanjang acara setelah selesai sesi pemanasan. Petugas kesihatan daripada 818 RSAT PU Labuan turut bersiap siaga bagi memberi bantuan kecemasan sekiranya perlu.
Larian 10km yang dianjurkan ini turut disertai oleh barisan Eksekutif Pangkalan yang diketuai oleh Pegawai Laksana Pangkalan iaitu Lt Kol Rosli bin Hashim TUDM sebagai Pemangku Komander Pangkalan PU Labuan serta barisan Eksekutif MAWILUD 2 yang turut serta bersama-sama warga pangkalan. Kesemua peserta berjaya menamatkan larian dalam keadaan baik dan tiada laporan kecederaan sepanjang aktiviti dilaksanakan. Setelah tamatnya acara larian, program diteruskan lagi dengan cabutan bertuah yang disertakan dengan hadiah yang menarik.
Tahniah dan syabas buat seluruh warga Pangkalan Udara Labuan dan Markas Wilayah Udara 2 dan diharapkan penganjuran sebegini akan diteruskan lagi bagi memberi kesedaran bahawa betapa pentingnya sukan didalam kehidupan seharian terutamanya sebagai barisan benteng pertahanan negara. Warga Pangkalan Udara Labuan dan Markas Wilayah Udara 2 sentiasa menyokong Hari Sukan Negara.