BUTTERWORTH, 16 Nov 23 - Komander Pangkalan Udara Butterworth, Brig Jen Khairol Muzambi bin Salehin TUDM telah memberi peluang kepada mana-mana sekolah yang berminat untuk membuat lawatan ke Pangkalan Udara Butterworth pada 16 Nov 23 bagi program Lawatan Hari Bersama Sekolah (HBS).
Program ini telah dikoordinasikan oleh Lt Kol Mohd Noor Hafis bin Mat Said TUDM, Ketua Cawangan Tadbir Pangkalan. Sebanyak lima buah sekolah telah dipilih bagi menyertai lawatan ini dan seramai 300 pelajar bersama guru pengiring telah terlibat semasa program ini berlangsung.
Antara pengisian aktiviti yang dijalankan sepanjang program ialah tayangan video montaj di Dewan Setia, pameran pesawat, kenderaan Bomba dan pameran replika di ASG Hangar Cawangan Kejuruteraan. Program ini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan oleh semua pihak sekolah yang hadir serta mendapat maklum balas yang baik terhadap pameran-pameran yang diadakan.
Berdasarkan sambutan yang diberikan oleh pelajar Sekolah Menengah, Sekolah Rendah dan Tadika sepanjang program ini berlangsung, sedikit sebanyak telah meransang minat dan kecenderungan pelajar-pelajar tersebut untuk menceburi bidang ketenteraan amnya dan TUDM khasnya. Usaha ini dilihat dapat memupuk hubungan murni antara TUDM dengan pihak awam dalam menyokong kerjasama Awam dan Tentera (CIMIC).
Semoga hari terbuka seperti ini dapat diadakan lagi dan dapat melakar nama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sepertimana indahnya cogan kata ‘SENTIASA DI ANGKASA RAYA”.