IPOH, 14 Nov 23 – Majlis Angkat Sumpah dan Serah Terima Perajurit Muda Udara (PjM U) Siri 67/23 telah berlangsung hari ini bertempat di Padang Kawad A, Akademi Tentera Udara (ATU), Ipoh, Perak.
Upacara Angkat Sumpah pada siri kali ini melibatkan 456 orang calon PjM U terdiri daripada 409 orang calon dari Semenanjung Malaysia dan 47 orang calon dari Kepulauan Borneo. Daripada jumlah tersebut, 394 orang adalah calon lelaki dan 62 orang calon wanita.
Majlis dimulakan dengan taklimat akhir kepada calon PjM U sebelum sesi lafaz Ikrar Taat Setia daripada calon PjM U Siri 67/23. Seterusnya majlis diteruskan dengan sesi menandatangani Sijil Serah Terima PjM U Siri 67/23 di antara Pegawai Staf 2 Kerjaya dan Pengambilan-Bahagian Sumber Manusia, Mej Mohd Yusri bin Hassan TUDM selaku Pegawai Angkat Sumpah dengan Ketua Sekolah Latihan Perajurit Muda (SLPM), ATU Mej Fadzeel bin Munir TUDM dan disaksikan oleh Ketua Jurulatih ATU, Lt Kol Hasruddin bin Hashim TUDM.
Sesi pemilihan akhir calon PjM U Siri 67/23 telah bermula pada 21 Okt 23 dimulai peringkat temuduga ketukangan (tred) oleh Pegawai dan Pegawai Waren daripada MTU-BSM Rancang LLP pada 30 dan 31 Okt 23 manakala Lembaga Pemilihan Akhir PjM U telah dipengerusikan oleh AKS Sumber Manusia, Brig Jen Nazaruddin bin Haron TUDM pada 2 Nov 23.
Keseluruhan calon yang hadir dalam sesi pemilihan akhir ini adalah seramai 633 orang. Selama lebih dua minggu calon berkampung di SLPM, ATU untuk menjalani beberapa peringkat temuduga, di antaranya ujian saringan kesihatan, ujian bertulis, ujian kecergasan asas dan lembaga pemilihan akhir.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua calon yang berjaya menempatkan diri dalam senarai PjM U Siri 67/23 kali ini. Semoga berjaya menjalani latihan selama 24 minggu dengan penuh bersemangat dan tidak mengenal erti putus asa serta diiringi doa restu ahli keluarga. Segala ilmu dan cabaran hendaklah ditempuh dengan cekal bagi membentuk jati diri yang utuh dalam melahirkan Warga Udara yang akan berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air tercinta.