![]() |
![]() |
![]() |
ALOR SETAR, 4 Jun 2025 – Sempena sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke-67, Kolej Tentera Udara (KTU) telah menganjurkan Program Derma Darah bertempat di Dewan Peperiksaan ITAS, KTU. Program ini dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga kolej mengenai pentingnya menderma darah demi menyokong keperluan bekalan darah negara serta membantu menyelamatkan nyawa.
Dengan kerjasama Pusat Tabung Darah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), program ini berjaya mengumpulkan sebanyak 82 pek darah hasil sumbangan ikhlas para penderma. Kejayaan ini mencerminkan semangat keprihatinan dan tanggungjawab sosial warga KTU terhadap masyarakat.
Program ini merupakan inisiatif kali kedua yang dilaksanakan di KTU sepanjang tahun 2025, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menyokong seruan kerajaan untuk meningkatkan simpanan darah di Tabung Darah Negara. Ia juga sejajar dengan aspirasi TUDM dalam melahirkan warga tentera yang bukan sahaja cemerlang dalam tugas, malah prihatin terhadap isu kemanusiaan.
Menurut kenyataan pihak penganjur, program ini diharapkan dapat dijadikan acara tahunan tetap KTU bagi meneruskan tradisi mulia membantu pesakit yang memerlukan.
"Satu beg darah mampu menyelamatkan tiga nyawa. Meskipun kecil di mata kita, sumbangan ini membawa makna besar buat mereka yang sedang bertarung nyawa,".
TUDM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga yang terlibat dalam menjayakan program ini serta berharap semangat solidariti dan kepedulian ini terus mekar dalam kalangan warga tentera.