PROGRAM ANTI DADAH PENGAL PERTAMA TAHUN 2025 PANGKALAN UDARA SUBANG

1 2 3
4 5 6

 

Jawatankuasa Anti Dadah (JKAD) Pangkalan Udara Subang telah menganjurkan Program Antidadah yang telah dirasmikan oleh Komander Pangkalan Udara Subang, Brig Jen Yusri bin Jamari TUDM pada 12 Jun 2025 di Dewan Ababil PU Subang. Program ini bertujuan memberi kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah, kepentingan pengurusan tekanan serta penerapan nilai integriti dalam kehidupan seharian dan kerjaya.

Turut hadir memeriahkan program ini ialah Pegawai Memerintah Skuadron / Unit, Ketua - Ketua Cawangan, Pengerusi BAKAT Pangkalan, Puan Haslin Binti Ismail, Ketua Biro BAKAT dan ahli – ahli BAKAT Pangkalan yang sentiasa menjadi tulang belakang sokongan moral dan sosial kepada warga Pangkalan.

Pengisian ceramah dibahagikan kepada tiga sesi iaitu ceramah berkaitan jenayah dadah telah disampaikan oleh Kapt Mohammad Fakhrul Islam bin Haris TUDM, Ketua Cawangan Penyiasatan Jenayah (CPJ) Zon Tengah, ceramah pengurusan tekanan oleh En Mohamad Hanif Bin Mohamad Jani, pegawai dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Port Dickson, dan ceramah integriti oleh Puan Norfazila binti Buyung Gadang, Pegawai Tadbir Diplomatik dari Unit Integriti Kementerian Pertahanan Awam.

Program turut diserikan dengan sesi soal jawab bersama para penceramah jemputan yang memberi ruang kepada para peserta untuk bertanyakan soalan berkaitan topik ceramah.
Ini adalah sebagai sebahagian daripada pengisian program dan turut diadakan Pertandingan Poster Digital dan Pertandingan Mereka Bentuk Backdrop Sukan dan Rekreasi Anti Dadah. Tiga peserta telah diumumkan sebagai pemenang pertandingan poster digital iaitu PW U II Rosliza bin Kamarazaman dari Cawangan Tadbir sebagai juara, PW U II Zairee bin Zakaria dari Cawangan Tadbir sebagai naib juara serta LU I Nur Afiq Aiman bin Che Husin dari Cawangan Operasi sebagai pemenang tempat ketiga.

Sementara itu, Kpl U (W) Nur Suhaida bt Mohd Radzi dari Cawangan Material telah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Mereka Bentuk Backdrop Sukan dan Rekreasi Anti Dadah yang akan digunakan sebagai backdrop rasmi untuk program sukan dan rekreasi pangkalan sepanjang tahun ini dan tahun - tahun berikutnya.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada para penceramah jemputan sebagai tanda penghargaan dan penutup rasmi program.

Sebagai langkah proaktif dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah di kalangan warga Pangkalan, seramai 171 orang terdiri daripada 38 pegawai dan 133 anggota lain – lain pangkat (LLP) telah menjalani ujian saringan air kencing yang dikendalikan oleh pihak CPJ Zon Tengah dan keputusan menunjukkan 100% negatif dalam saringan awal. Ini telah menunjukkan satu pencapaian yang membanggakan dan membuktikan tahap disiplin serta kesedaran tinggi warga Pangkalan.

Komander Pangkalan dalam ucapannya turut menyeru semua pihak agar terus komited dalam membanteras penyalahgunaan dadah, memperkukuh integriti, serta mengurus tekanan dengan bijaksana demi kesejahteraan perkhidmatan dan keluarga. Beliau turut merakamkan setinggi - tinggi penghargaan kepada Pegawai Anti Dadah Pangkalan iaitu Mej Putri Noor Zuliana bt Megat Ahmad TUDM, serta ahli JKAD Pangkalan dan semua yang telah terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga usaha ini menjadi cerminan iltizam berterusan warga Pangkalan — Bantuan Demi Pertahanan.

Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan,
Jalan Padang Tembak, 50634, Kuala Lumpur.
Emel: pro[at]airforce[dot]mil[dot]my[dot]
Tel: +(60)3-40170056 (Bhg. Perhubungan Awam)
Tel: +(60)3-40170100 (Sek. Kerjaya & Pengambilan)
 
Resolusi Paparan: 1024 x 768 px dengan
Mozilla Firefox, Google Chrome dan
Internet Explorer