![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
SENDAYAN, 20 November 2024 – Markas Pasukan Simpanan Tentera Udara (MPSTU) telah mengadakan Perbarisan Pengarah Pasukan Simpanan Tentera Udara (PSTU) dan upacara pemakaian pangkat Pegawai PSSTUDM di Padang Kawad, Pangkalan Udara Sendayan.
Sebaik tiba, Pengarah PSTU, Kol Mohd Sam bin Mohd Yusof TUDM, menerima tabik hormat daripada kontinjen perbarisan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 30 anggota Lain-lain Pangkat (LLP). Turut hadir ialah Ajutan, jurulatih dari unit PALAPES Udara Universiti Awam, dan anggota LLP MPSTU.
Perbarisan statik ini merupakan kali kedua diadakan pada tahun ini, sejajar dengan tradisi rejimental Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Direktif PTU No. 17, yang menekankan kepentingan aktiviti rejimental dalam budaya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Aktiviti ini menjadi platform untuk pemerintah menyampaikan aspirasi dan maklumat terkini secara langsung kepada seluruh warga di bawah naungan mereka.
Pada perbarisan ini, Pengarah PSTU turut menyempurnakan upacara pemakaian pangkat kepada dua Pegawai Pertugasan Sepenuh Masa PSSTUDM, iaitu Lt Dzul Ikram bin Shamsudin PSSTUDM dan Lt Naimah binti Dun PSSTUDM. Kedua-duanya dinaikkan pangkat ke Kapten PSSTUDM, berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024. Dalam ucapannya, Pengarah PSTU mengucapkan tahniah atas kenaikan pangkat kedua-dua pegawai tersebut dan berharap agar mereka terus melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan penuh dedikasi serta kecemerlangan pada masa hadapan.
Beliau turut menegaskan bahawa salah satu fungsi utama MPSTU adalah melatih anggota awam, khususnya pelajar universiti, untuk menyertai PSSTUDM. Oleh itu, pegawai dan jurulatih perlu menonjolkan serta mengekalkan tradisi asas ketenteraan supaya ia dapat dijadikan panduan dan diterapkan kepada bakal pegawai dan anggota PSSTUDM. Di samping itu, imej serta nama baik TUDM perlu sentiasa dijaga sepanjang masa.
Pengarah PSTU juga memberi penekanan terhadap nilai teras yang penting dalam pembentukan jati diri sebagai seorang tentera, iaitu integriti dan perikemanusiaan, sebagaimana termaktub dalam Direktif PTU No. 18. Beliau mengingatkan bahawa sebarang salah laku berkaitan integriti atau perikemanusiaan oleh pegawai atau anggota boleh dikenakan tindakan pemberhentian di bawah Peraturan-Peraturan Angkatan Tentera.
Mengakhiri ucapan, Pengarah PSTU menyampaikan penghargaan kepada seluruh warga MPSTU serta unit PALAPES Udara atas kerjasama dan komitmen cemerlang sepanjang tahun 2024. Kejayaan MPSTU, menurut beliau, adalah hasil kerjasama dan semangat berpasukan yang ditunjukkan di semua peringkat.
Beliau berharap kejayaan ini akan terus berlanjutan dan bertambah baik pada tahun-tahun mendatang, sejajar dengan peranan MPSTU sebagai organisasi yang memainkan peranan penting dalam melahirkan anggota sukarela PSSTUDM yang berwibawa dan berkualiti.