GONG KEDAK, 22 Dis 22 – Perbarisan Komander Pangkalan telah diadakan di Hangar No. 12 Skuadron, Pangkalan Udara Gong Kedak. Perbarisan terdiri daripada 11 pegawai dan 109 anggota lain-lain pangkat. Perbarisan ini diketuai oleh Mej Amrin bin Anuwar TUDM. Manakala Ajutan Perbarisan ialah Kapt Abdul Rashid bin Zulkifli TUDM dan Pegawai Waran Perbarisan adalah PW U II Mohd Tarmizi bin Mohd Sabri.
Dalam ucapan Komander Pangkalan, beliau telah menekankan Perintah Ulung Panglima Tentera Udara ke-20 berteraskan kepada enam (6) tonggak utama untuk mendepani cabaran masa hadapan serta menentukan legasi kegemilangan TUDM agar sentiasa terpelihara. Enam tonggak utama tersebut adalah Pemantapan Keupayaan Dan Kesiagaan TUDM; Keunggulan Struktur dan Kecemerlangan Organisasi; Pemerkasaan dan Pengupayaan Warga Udara; Mengoptimumkan Pengurusan Sumber dan Meningkatkan Budaya Inovasi; Peningkatan Keupayaan TUDM Melalui Kolaborasi Bersama Industri Pertahanan Tempatan dan Kebajikan Sosial & Kelestarian Warga.
Selesai upacara perbarisan, turut diadakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Cawangan Kejuruteraan di antara Lt Kol Suhardi bin Mohd Daud TUDM dengan Lt Kol Shahril Amier bin Ani TUDM sebagai Ketua Cawangan Kejuruteraan yang baharu sambil disaksikan oleh Komander Pangkalan, Kol Ahmad Edros bin Ahmad Osman TUDM. Turut hadir memeriahkan majlis adalah pegawai-pegawai eksekutif, pegawai-pegawai, anggota lain-lain pangkat dan anggota tadbir awam pangkalan.
Seluruh warga Pangkalan Udara Gong Kedak mengucapkan ribuan terima kasih kepada Lt Kol Suhardi bin Mohd Daud TUDM di atas jasa dan sumbangan beliau sepanjang memegang jawatan Ketua Cawangan Kejuruteraan dan berkhidmat di Pangkalan Udara Gong Kedak. Beliau akan bertukar keluar ke Markas Tentera Udara (MTU) DGTA menjawat jawatan sebagai PS1 Maintenance Authority Body (MAB). Tahniah juga kepada Lt Kol Shahril Amier bin Ani TUDM yang diamanahkan menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Cawangan Kejuruteraan, PU Gong Kedak. Semoga terus berjaya dan cemerlang di dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan.