SUBANG, 7 Jan 25 – Pangkalan Udara Subang telah melaksanakan Perbarisan Bulanan Komander Pangkalan bertempat di Padang Kawad Pangkalan, pagi ini.
Perbarisan terdiri daripada 5 Pegawai dan 304 Anggota LLP yang diketuai oleh Mej Muhammad Eji Fakri bin Bahanuddin TUDM dari No 2 Skuadron, Ajutan Perbarisan, Kapt William Teo TUDM dari No 16 Skuadron manakala Pegawai Waran Perbarisan, PW U II Yahya Ariff bin Yunus dari No 20 Skuadron.
Upacara perbarisan dimulakan dengan tabik hormat kepada Komander Pangkalan, Brig Jen Yusri bin Jamari TUDM dan seterusnya pemeriksaan perbarisan oleh Komander Pangkalan. Dalam perbarisan tersebut, Komander Pangkalan, Brig Jen Yusri bin Jamari TUDM diiringi oleh Pegawai Eksekutif Pangkalan, Kol Ungku Suzaini bin Ungku Ahmad TUDM telah menyempurnakan upacara pemakaian pangkat kepada 1 Pegawai dan 27 Anggota LLP. Upacara diserikan lagi dengan penyampaian sijil bagi pemenang Pertandingan Esei Pangkalan dan penyerahan Sumbangan Kebajikan kepada anggota pangkalan.
Dalam ucapan Komander Pangkalan, beliau mengingatkan agar setiap anggota menjaga tingkah laku dan disiplin sebagai seorang anggota tentera yang terlatih serta menjauhkan diri dari penyalahgunaan najis dadah, tidak hadir tanpa cuti (THTC), judi online dan buli. Beliau juga menitik beratkan dan mengingatkan semua berkenaan nilai teras TUDM perlu sentiasa diutamakan dalam melaksanakan tugasan seharian. Harapan beliau agar setiap warga pangkalan dapat meneruskan budaya kecemerlangan sepanjang tahun 2025 dan terus kekal sebagai sebuah pangkalan yang cemerlang dalam mendukung aspirasi TUDM.
Perbarisan diakhiri dengan laungan Ikrar Kesatria dan bacaan doa. Turut hadir dalam perbarisan ini, Pegawai-pegawai Memerintah dan Ketua-ketua Cawangan, Pegawai dan Anggota serta kakitangan awam.