![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
KUALA LUMPUR, 17 Februari 2025 - Asisten Ketua Staf (AKS) Tadbir, Brigedier Jeneral Junairi bin Baharom TUDM telah mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Pelaksanaan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) melalui Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL) di Bilik Mesyuarat Sel Rekod, MTU-Perkhidmatan.
Mesyuarat ini melibatkan kerjasama strategik antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (PERHEBAT) dengan tujuan utama memperkukuhkan program latihan dan pembangunan kemahiran anggota TUDM.
Hadir sama dalam mesyuarat tersebut adalah wakil daripada MTU-BSM, MTU-Materiel dan MUKES. Perbincangan tertumpu pada koordinasi pelaksanaan DKM melalui RPEL, yang berperanan penting dalam memberi pengiktirafan terhadap pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh anggota TUDM sepanjang perkhidmatan mereka. Salah satu fokus utama mesyuarat adalah memperhalusi prosedur dan modul RPEL, untuk memastikan ia selaras dengan piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Inisiatif ini bertujuan bukan sahaja untuk meningkatkan kelayakan dan kemahiran anggota TUDM, tetapi juga untuk memastikan mereka lebih bersedia menghadapi tuntutan industri melalui latihan yang relevan. Ini juga membuka peluang kepada anggota TUDM untuk mendapatkan pengiktirafan dalam bidang-bidang kemahiran tertentu, sekali gus memberi manfaat dalam kerjaya selepas perkhidmatan mereka. Mesyuarat ini menjadi platform penting untuk memperkukuhkan hubungan antara TUDM dan PERHEBAT, bagi memastikan keberkesanan program ini dalam memberi impak positif kepada anggota TUDM.
Dengan penetapan modul dan sistem penilaian yang tepat, diharapkan lebih ramai anggota TUDM akan mendapat manfaat daripada tajaan dan pengiktirafan berdasarkan pengalaman serta kemahiran yang diperoleh sepanjang perkhidmatan mereka. Inisiatif ini bukan sahaja mengukuhkan kualiti sumber daya manusia dalam TUDM, tetapi juga memberi kesan positif kepada pembangunan negara, dengan menghasilkan tenaga kerja yang lebih berkemahiran dan bersedia mengharungi cabaran masa depan.