SEMBAWANG, 7 Nov 23 - Search and Rescue Exercise Malaysia and Singapore 2023 (SAREX MALSING 23) kini bermula. Majlis pembukaan SAREX MALSING 23 ini telah berlangsung di Sembawang Air Base, Singapura dengan simbolik pemakaian patch eksesais diantara Co-Exercise Director (Co-EXDIR) iaitu, Leftenan Kolonel Paranjothi Manogharan TUDM, Pegawai Memerintah No 10 Skuadron mewakili TUDM dan Lieutenant Colonel Lim Seng Wee Commanding Officer of No 125 Squadron mewakili The Republic of Singapore Air Force (RSAF) disusuli pemakaian patch kepada para peserta yang terlibat.
SAREX MALSING 23 adalah eksesais bilateral yang merupakan kesinambungan kerjasama diantara TUDM dan RSAF. Eksesais yang dirancang setiap tahun ini telah menyaksikan giliran RSAF menjadi penganjur dimana kawasan latihan yang diadakan adalah di perairan Singapura dan akan dilaksanakan bermula 6 hingga 10 Nov 23. Eksesais ini melibatkan pasukan mencari dan menyelamat daripada kedua-dua angkatan udara menggunakan aset udara jenis helikopter EC725AP daripada No 10 Skuadron TUDM dan H225M daripada 125 Squadron RSAF.
Eksesais ini bertujuan untuk meningkatkan kerjasama diantara kedua-dua angkatan udara dalam menjalankan misi mencari dan menyelamat secara bersama. Selain itu, eksesais ini juga menjadi bukti komitmen dalam memperkasa kerjasama pertahanan diantara Malaysia dan Singapura.
Terdahulu delegasi TUDM telah tiba di Singapura pada 6 Nov 23 menggunakan pesawat pengangkut C-130 Hercules daripada No 20 Skuadron serta tim Search and Rescue (SAR) daripada No 10 Skuadron dan Pasukan Khas TUDM (PASKAU) menggunakan pesawat helikopter EC725AP. Ketibaan peserta TUDM telah disambut oleh peserta daripada RSAF.