YOGYAKARTA, 7 Nov 23 - Mesyuarat Ke-80 Tim Perancang Latihan Udara Malaysia - Indonesia (TPLU MALINDO) sedang berlangsung bermula 6 hingga 9 Nov 23 di Hotel Sheraton Mustika Yogyakarta, Indonesia. Delegasi TUDM diketuai oleh Brig Jen Dato’ Abdul Halim bin Abu Hassan TUDM, KS MAWILUD 1 merangkap Pengerusi Bersama TPLU MALINDO bersama tujuh (7) pegawai TUDM dari pelbagai jabatan dan pasukan.
Mesyuarat ini adalah kegiatan tahunan bagi membincangkan aktiviti bersama dalam bidang latihan, kunjungan, pendidikan, pertukaran personal dan juga siber pertahanan antara kedua angkatan udara TUDM dan TNI AU. Selain daripada itu, ianya juga bertujuan mengeratkan lagi hubungan dua hala yang sedia akrab antara Malaysia dan Indonesia.
Terdahulu, delegasi TNI-AU yang diketuai oleh wakil Asisten Operasi (Waasops KASAU), Marsekal Pertama TNI Suliono bersama Penolong Penasihat Pertahanan, Lt Kol Aznan bin Alias TUDM telah menyambut kedatangan delegasi TUDM ini dan mengalu-alukan ketibaan semua peserta.