BUTTERWORTH, 30 Nov 23 – Komander Pangkalan Udara Butterworth, Brig Jen Khairol Muzambi bin Salehin TUDM telah merasmikan Majlis Sambutan Pencapaian 5000 Jam Penerbangan Selamat Pesawat AW139.
Majlis ini diadakan bagi meraikan seluruh warga No 3 Skn dan Weststar Aviation Services Sdn Bhd (WASSB) yang telah membuktikan prestasi cemerlang dengan menunjukkan sikap profesional dan komited dalam memastikan kesiagaan pesawat sebilang masa serta pelaksanaan penerbangan operasi dan latihan selamat tanpa sebarang insiden.
Pada Disember 2021, No 3 Skn telah menerima 4 x Pesawat AW139 yang merupakan kerjasama antara TUDM dan WASSB melalui projek Government Operate Company Own and Maintain (GOCOM). Sepanjang perkhidmatan pesawat ini dalam TUDM, No. 3 Skn telah melaksanakan pelbagai penugasan penerbangan operasi antaranya adalah utility transportation, VVIP/VIP flight, medevac, casevac, bodevac dan terbang lintas udara. Pencapaian yang paling membanggakan adalah penglibatan kali pertama pesawat ini dalam pameran LIMA’23 pada Mei yang lalu. Dalam tempoh 22 bulan pengoperasian pesawat AW 139, No 3 Skn telah melakar sejarah kerana telah berjaya mencapai 5000 jam penerbangan selamat tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Brig Jen Khairol Muzambi TUDM dalam ucapannya turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh warga No 3 Skn yang diketuai oleh Lt Kol Mohd Faizal bin Abdul Latif TUDM selaku Pegawai Memerintah No 3 Skn dan pihak WASSB atas pencapaian 5000 jam penerbangan selamat sejak pengoperasiannya. Ini merupakan pencapaian yang amat membanggakan bagi Pangkalan Udara Butterworth dan TUDM. Beliau menyeru agar warga No 3 Skn akan terus mengekalkan prestasi kerja cemerlang ini dan lebih berdaya maju pada masa yang akan datang.
Turut hadir dalam majlis ini adalah Kol Engku Faizal bin Engku Mustaffa TUDM, Pegawai Laksana Pangkalan Udara Butterworth, Lt Kol Mohd Faizal bin Abdul Latif TUDM, Pegawai Memerintah No 3 Skn, Lt Kol Roslimizal bin Kamarozaman TUDM, Ketua Cawangan Kejuruteraan PU Butterworth serta En Ahmad Rashide bin Mustapha, Fleet Assets General Manager WASSB dan Captain Mohd Nazri bin Marzuke, Government Project General Manager WASSB.