SEPANG, 30 Nov 23 – Unit Integriti Pangkalan Udara Subang telah melaksanakan program lawatan ke Majlis Bandaraya Sepang (MP Sepang) melibatkan 16 pegawai dan 34 anggota LLP yang diadakan pada 30 Nov 23. Lawatan ini adalah sebagai pengisian program tahunan Unit Integriti Pangkalan untuk memperkasakan pengurusan integriti di pangkalan dengan memahami dan mendalami amalan terbaik melalui contoh teladan yang telah dipamerkan oleh Unit Integriti MP sepang.
MP Sepang dipilih sebagai lokasi lawatan merupakan salah satu agensi kerajaan bertaraf lima bintang yang berpengalaman menguruskan pentadbiran majlis perbandaran melibatkan hubungan kerajaan dan swasta yang terbaik di dalam pengurusan tadbir urus dan integriti. MP Sepang telah disenaraikan antara 20 agensi terbaik daripada 145 agensi yang telah mendaftar bagi anugerah Integrity, Governants dan Anti Rasuah bagi tahun 2023. MP Sepang turut memenangi beberapa anugerah dan telah dinobatkan sebagai Juara Integriti dan Anti rlRasuah kategori Pihak Berkuasa Tempatan tahun 2021.
Program ini dimulakan dengan kunjungan hormat oleh Komander Pangkalan, Kol Yusri bin Jamari TUDM dan Kol Nornizam bin Kamarudin TUDM kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang iaitu Dato’ Haji Abd. Hamid bin Hussain. Pengisian program adalah taklimat pentadbiran MP Sepang dan perkongsian berkenaan tadbir urus pengurusan integriti dan sistem myintegrity MP Sepang oleh Pengarah Unit Integriti, Puan Suhana binti Ghazali. Lawatan ini menjadi salah satu medium dalam memangkin warga PU Subang untuk meningkatkan usaha dalam membudayakan integriti dalam tadbir urus terbaik dan anti rasuah. Lawatan ini juga dapat dijadikan sebagai platform kerjasama TUDM dan MP Sepang untuk berkolaborasi pada masa akan datang.