IPOH, 26 Ogos 22 - Sekolah Latihan Kawad (SLK), Akademi Tentera Udara (ATU) telah mengadakan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Tamat Kursus Pengurusan Kawad dan Istiadat Pasukan Siri 33/22 yang disempurnakan oleh Komandan ATU, Kol Junairi bin Baharom TUDM bertempat di Padang Kawad A.
Seramai 30 orang penuntut kursus daripada pelbagai unit di dalam TUDM telah berjaya menamatkan kursus yang berlangsung selama 5 minggu ini dengan jayanya. Objektif utama kursus ini adalah bertujuan untuk melahirkan jurulatih kawad yang berwibawa yang boleh mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan disiplin di tahap yang terbaik.
Terdapat tiga (3) anugerah yang telah disampaikan oleh Komandan ATU. Penuntut Terbaik Keseluruhan telah disandang oleh 721867 PW U II Abd Rahim bin Abdul Rahman dari Pangkalan Udara Labuan dan Kawad Terbaik telah disandang oleh 727557 Sjn U Izwan Hafiz bin Mohd Rodi dari Akademi Tentera Udara. Penuntut Akademik Terbaik pula dianugerahkan kepada 722037 PW U II Mohd Helmi bin Haron dari Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Udara (MPPLU).
Semoga semua penuntut kursus dapat memanfaatkan ilmu yang telah dipelajari di pasukan masing-masing serta menjadi jurulatih kawad yang berkaliber dan disegani bukan sahaja di peringkat TUDM malah di peringkat ATM. Syabas dan selamat maju jaya.