![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
DENGKIL, 27 Februari 2025 – Pengarah Pasukan Simpanan Tentera Udara (PSTU), Kol Mohd Shahfreen bin Baba TUDM, telah mengadakan lawatan rasmi ke Latihan Kem Tahunan (LKT) 2025 yang melibatkan PALAPES Udara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Lawatan ini juga merupakan lawatan sulung beliau sejak menjawat jawatan Pengarah PSTU.
LKT kali ini menyaksikan penyertaan seramai 125 Pegawai Kadet PALAPES Udara UiTM dan 90 Pegawai Kadet PALAPES Udara UIAM di Sungai Buah, Dengkil, Kajang. Ketibaan Pengarah PSTU disambut oleh Ajutan PALAPES Udara UiTM, Kapt Najwa binti Muhammed Maasus TUDM, serta Ajutan PALAPES Udara UIAM, Lt Amirul Zharif bin Zairudin TUDM, bersama pegawai MPSTU dan jurulatih PALAPES Udara UiTM serta UIAM.
Dalam lawatan itu, Pengarah PSTU meninjau latihan Pegawai Kadet peringkat Junior yang mendirikan Pangkalan Sementara sebagai sebahagian silibus LKT. Beliau juga melawat kawasan latihan Pegawai Kadet peringkat Intermediate yang menjalani latihan Pertahanan Pangkalan serta demonstrasi baca perintah dan model. Seterusnya, beliau menyaksikan latihan Pegawai Kadet peringkat Senior yang membina "Kampung Survival", melibatkan pembinaan empat jenis pondok: Pondok Paya, Pondok Seminggu, Pondok Pelindung Angin, dan Pondok Pisang Sesikat. Pegawai Kadet Senior turut menunjukkan demonstrasi memasang jerat dan teknik "Cone Fire".
Selesai lawatan, Pengarah PSTU beramah mesra dengan warga PALAPES UiTM dan UIAM serta menyampaikan hadiah bagi Pertandingan Jalan Laju antara kedua-dua institusi yang berlangsung pada 22 Februari 2025. Dalam ucapannya, beliau menasihati Pegawai Kadet supaya mengutamakan pelajaran dan mencapai CGPA 3.5 ke atas. Beliau turut menekankan bahawa pengalaman tiga tahun latihan ini amat berharga dan akan menjadi kenangan bermakna pada masa hadapan.
Lawatan rasmi ini bukan sahaja membolehkan Pengarah PSTU melihat pelaksanaan latihan secara langsung, malah menjadi pemangkin semangat kepada Unit PALAPES Udara untuk terus meningkatkan kecemerlangan dan profesionalisme dalam pasukan.