GONG KEDAK, 28 Feb 2024 - Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, YBhg. Datuk Seri Isham bin Ishak telah mengadakan lawatan ke Pangkalan Udara Gong Kedak bagi meninjau beberapa infrastruktur dalam Pangkalan. Lawatan ini turut disertai oleh YBrs Dr Mohd Bakhari bin Ismail, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan); Mej Jen Ir Thevendran CS Maniam, Ketua Pengarah BPKP; Brig Jen Mohd Sani bin Omar TUDM, Timbalan AKS P&P dan beberapa Pegawai Kanan Kementerian Pertahanan, MK ATM dan TUDM. Ketibaan delegasi lawatan telah disambut oleh Eksekutif Pangkalan yang diketuai oleh Lt Kol Shahril Ameir bin Ani TUDM, Ketua Cawangan Kejuruteraan yang mewakili Komander Pangkalan.
Tujuan utama lawatan ini adalah bagi membincangkan dan menentukan halatuju pengoperasian Automated Storage Retrieval System (ASRS) dan perancangan pembaikan di Bangunan MATRA 3, PU Gong Kedak.
KSU Kementerian Pertahanan dan delegasi turut meninjau bangunan MATRA 3 dengan lebih mendalam serta melihat sendiri kerosakan semasa ASRS. Perbincangan lanjut halatuju perkara ini telah diadakan selepas lawatan tapak di Bilik Mesyuarat MATRA 3 yang telah dipengerusikan oleh beliau.
Seusai makan tengahari, YBhg. Datuk Seri Isham bin Ishak dan delegasi lawatan telah mengunjungi Pusat Simulator No. 12 Skn dan kemudiannya ke Hangar Cawangan Kejuruteraan bagi melihat perkembangan “Preventive and Restoration Work” (PRW) Pesawat Sukhoi SU-30MKM yang melibatkan kolaborasi secara “Smart Partnership” di antara TUDM dan Syarikat ATSC Sdn Bhd.
Delegasi lawatan juga kemudiannya di bawa ke Tactical Shelter (TS) bagi melihat pesawat Su-30MKM yang siap sedia untuk latihan penerbangan sebelum ke landasan terbang untuk melihat kecacatan kerja penurapan landasan sebelum ini.
Lokasi akhir lawatan diteruskan dengan lawatan ke tapak radar di Skn 321 sebelum ke Wisma Perwira untuk sajian petang. Datuk Seri KSU dan delegasi berlepas pulang ke Pangkalan Udara Subang pada jam 1550 petang dengan pesawat CN235.
Pengurusan Pangkalan Udara Gong Kedak mengucapkan terima kasih kepada YBhg. Datuk Seri Isham bin Ishak dan delegasi yang datang ke Pangkalan ini. Semoga segala perbincangan halatuju dan keputusan bakal memberikan impak kepada operasi dan kesiapsiagaan Pangkalan kelak.